Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19 pada petang Jumaat lalu memutuskan penutupan penuh (total lockdown) terhadap sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara mulai 1 hingga 14 Jun ini.
Sepanjang tempoh 14 hari itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu. Keputusan berat tetapi dianggap tepat ini dibuat selepas mengambil kira keadaan terkini dalam peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 dan jumlah kematian yang tinggi akibat pandemik ini yang semakin mencemaskan.
Statistik kes Covid-19 pada 28 Mei itu adalah 8,290 kes baharu dengan jumlah kes aktif meningkat menjadi 72,823 manakala jumlah kematian harian akibat virus pembunuh itu adalah 61 jiwa. Sehari selepas itu, jumlah kes baharu meningkat kepada 9,020, satu rekod harian baharu yang sangat-sangat membimbangkan, terutama kepada kepemimpinan kerajaan dan barisan hadapan.
Hanya beberapa hari sebelumnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu wawancara khas di televisyen menjelaskan secara terperinci tentang betapa dahsyatnya impak pandemik ini kepada ekonomi negara dan rakyat jika perintah penutupan penuh dikuatkusakan. Kerana itulah, jelas Perdana Menteri, kerajaan tidak melaksanakan perintah penutupan penuh pada waktu itu.
Namun, selang beberapa hari berikutnya, Perdana Menteri sendiri mengisytiharkan perintah penutupan penuh. Kenyataannya, ia bermakna situasi jangkitan Covid-19 sudah amat meruncing sehingga beliau terpaksa memilih untuk melaksanakan penutupan penuh demi menyelamatkan nyawa rakyat, meskipun terpaksa berhadapan dengan kesan yang mungkin parah terhadap ekonomi negara dan kehidupan seharian rakyat.
Keputusan yang berani dan tegas ini mencerminkan sifat bertanggungjawab dan keprihatinan Perdana Menteri yang amat mengutamakan perlindungan serta keselamatan nyawa rakyat berbanding pengekalan serta pengukuhan ekonomi negara.
Mengapa agaknya penutupan penuh ini tidak dapat dielakkan? Beberapa faktor dan pertimbangan penting perlu dibuat. Antaranya untuk mengawal pergerakan fizikal rakyat secara serta-merta supaya kadar jangkitan Covid-19 dapat dikawal. Penutupan penuh juga dilihat mampu mengurangkan bilangan pesakit baharu yang perlu atau terpaksa dikejarkan ke hospital.
Ia juga sedikit sebanyak boleh meringankan bebanan barisan hadapan kesihatan yang dirasakan sudah begitu lelah dan kepenatan dalam merawat kes-kes pesakit yang kelihatan terus bertambah di semua hospital. Juga untuk memastikan kecukupan peralatan rawatan bagi kes-kes serius seperti ventilator dan bekalan oksigen. Ini bermakna ia adalah satu cara untuk memastikan agar sistem kesihatan negara tidak lumpuh dan dapat terus berfungsi dengan baik.
Sekatan penuh ini juga secara praktikalnya mampu mengelakkan senario tragedi kesihatan seperti yang berlaku di Itali pada sekitar pertengahan November tahun lalu apabila pakar-pakar kesihatan terpaksa membiarkan pesakit warga emas mati tanpa rawatan disebabkan tiada lagi ruang di hospital untuk merawat mereka. Juga, ia boleh menghindari berlakunya tragedi ngeri seperti di India di mana ratusan mayat terbiar bergelimpangan dan terpaksa dicampak ke Sungai Ganges begitu sahaja.
GANAS
Justeru, apakah respons atau tindakan terbaik rakyat dalam menghadapi penutupan penuh ini? Paling penting, kita perlu fokus menentang musuh yang begitu ganas dan tidak memilih mangsa ini, iaitu virus Covid-19. Untuk itu, berhentilah dan elakkan bermusuh sesama kita. Kritikan dan cemuhan ahli-ahli politik yang hanya berminat melemahkan kerajaan tanpa tampil ke hadapan untuk membantu dan memberi idea dalam memperbaiki keadaan sangat tidak diperlukan pada masa ini.
Semua pihak juga wajib siap siaga menentang virus Covid-19 yang boleh berada di mana-mana dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun di dalam rumah sendiri demi keselamatan setiap ahli keluarga – memakai topeng, menjaga jarak dan sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau pensanitasi.
Jika boleh, lakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 secara berkala memandangkan kewujudan beberapa varian baharu virus ini (terutama varian India dan United Kingdom) di mana pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala sehinggalah pada saat akhir serangan di mana terlalu lewat untuk mangsa diselamatkan. Terakhir dan teramat penting, daftarlah diri untuk mendapatkan vaksin dan pastikan hadir pada tarikh, tempat dan waktu janji temu yang ditetapkan.
Kita sebenarnya tiada pilihan, selain menang dalam peperangan melawan musuh yang amat kejam dan tidak memilih mangsa ini. Pembunuh halimunan yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar ini mampu menjangkiti manusia pada setiap masa dan di mana-mana sahaja. Ia kini telah meragut nyawa lebih 3.5 juta jiwa dan menjangkiti lebih 170 juta mangsa di seluruh dunia.
Covid-19 perlu dikalahkan walau dengan apa cara sekalipun. Selain vaksin, mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan duduk di rumah pada sepanjang masa, sentiasalah kita menadah tangan berdoa memohon kepada Allah Yang Maha Kuasa agar bala dan bencana Covid-19 ini segera diangkat dan dihilangkan daripada terus menjadi ancaman manusia sejagat.
Datuk Dr. Mohd. Radzi Abd. Latif ialah Presiden Dewan Profesional Bumiputera Malaysia dan juga Pengerusi Majlis Bertindak Ekonomi Muslim Malaysia.










