Pelajar disiasat terlibat letupan di sekolah Jakarta, hampir 100 cedera - Utusan Malaysia

Pelajar disiasat terlibat letupan di sekolah Jakarta, hampir 100 cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menyiasat seorang pelajar berhubung insiden letupan yang mencederakan hampir 100 orang di sebuah sekolah berhampiran ibu negara semalam.

Letupan berlaku di kawasan surau sekolah di Jakarta Utara ketika jemaah sedang berhimpun bagi menunaikan solat Jumaat, menyebabkan suasana panik dalam kalangan pelajar dan guru.

Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, berkata pasukan penyiasat telah menemui beberapa bahan bukti di lokasi kejadian, termasuk serbuk yang dipercayai boleh mencetuskan letupan.

“Terdapat tulisan dan juga serbuk yang berpotensi menjadi punca letupan,” katanya seperti dipetik stesen televisyen Kompas TV, hari ini.

Setakat ini, pihak polis telah mengenal pasti seorang suspek iaitu pelajar yang turut cedera dalam kejadian tersebut, namun tidak menolak kemungkinan wujudnya penglibatan pihak lain.

“Pasukan penyiasat turut meneliti latar belakang keluarga serta aktiviti media sosial suspek,” tambahnya.

Menurut Listyo, jumlah mangsa yang cedera kini meningkat kepada 96 orang, berbanding laporan awal sebanyak 54 orang.

Daripada jumlah itu, 14 mangsa masih dirawat di hospital, termasuk dua dalam keadaan kritikal.

Jurucakap pasukan antipengganas Densus 88, Mayndra Eka Wardhana, berkata rumah suspek telah digeledah, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Insiden berkenaan mengejutkan masyarakat tempatan memandangkan ia berlaku di kawasan sekolah dan semasa waktu solat Jumaat, namun pihak berkuasa masih belum mengesahkan sama ada kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan tindakan sabotaj atau insiden tidak disengajakan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN