KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin sedia bangkit selepas gagal melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF tahun ini.
Pang Ron berkata, mereka akan memberikan saingan sengit di dua kejohanan penutup musim iaitu Kumamoto Masters dan Terbuka Australia, bagi menutup tahun dengan prestasi cemerlang sebelum bertarung pada Sukan SEA di Thailand bulan depan.
Gandingan ranking ke-20 dunia itu kali terakhir beraksi di Terbuka Korea Selatan pada September sebelum pasanganya Su Yin mengalami keretakan tulang di tapak kaki kiri, sekali gus terpaksa menarik diri daripada keseluruhan siri Eropah bulan lalu.
“Untuk sekarang, sasaran kita jangan tinggi sangat sebab Su Yin banyak kali juga cedera. Saya harap boleh sihat dan bebas kecederaan dan mampu bertarung di gelanggang.
“Sekarang kita sudah tidak bermain beberapa bulan, jadi saya harap boleh menikmati permainan dan cari balik momentum,” kata Pang Ron.
Pang Ron mengakui kecederaan berulang memang satu kebimbangan, namun mereka terus melakukan pencegahan dan memanfaatkan khidmat sains sukan untuk mempercepatkan pemulihan.
Beliau menekankan aspek mental sebagai kunci dalam persaingan sengit ini, sambil memberi sokongan berterusan kepada Su Yin agar fokus dan motivasi kekal tinggi.
“Memang itu kebimbangan sebab siapa nak cedera kan? Tetapi kita ada buat langkah berjaga-jaga dan semua, namun kadang-kadang badan kita tak boleh kawal 100 peritus.
“Saya pun beritahu kepada Su Yin jangan kecewa dan risau. Saya sokong dia sini. Fokus pada pemulihan dan selepas itu kita berjuang lagi,” katanya.
Kini mereka bersedia menghadapi cabaran sebenar di Kumamoto Masters (11-16 November) dan Terbuka Australia (18-23 November), yang bakal menentukan momentum mereka menutup musim.
“Keputusan permulaan memang tidak akan bagus namun itu sebahagian daripada proses. Dia (Su Yin) lagi mahu menang dan susah nak atasinya (kecederaan). Kami masih mencari momentum dan mahu kembali kompetitif di gelanggang,” katanya. – UTUSAN










