Daripada pembaca berita ke usahawan tudung

Daripada pembaca berita ke usahawan tudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kreativitinya menghasilkan tudung anti kerongsang lebih 15 tahun lalu membuka lembaran baru dalam hidup wanita ini.

Siapa sangka eksperimen kecil Siti Murni Abdul Aziz, 39, itu berjaya.

Daripada dunia penyiaran, beliau beralih sepenuhnya kepada perniagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lantas membina jenama fesyen Muslimah yang bukan sahaja bergaya tetapi praktikal.

Katanya, ilham untuk menghasilkan tudung itu tercetus secara spontan kerana ‘alahan’ dialami ketika bertugas sebagai pembaca berita di stesen penyiaran tertua tanah air.

Kulitnya sangat sensitif dan sering kali luka serta berdarah jika memakai kerongsang atau fabrik tajaan yang tidak sesuai.

“Saya pilih material selesa dan buat rekaan yang boleh mencantumkan tudung dan terletak elok di kepala.

“Bila ramai yang memuji dan berminat untuk membeli, saya nekad menjual rekaan tudung itu berbekalkan modal RM1,000,” katanya.

Koleksi pertama yang dihasilkan ialah selendang ikat.

Tudung itu menjadi penyelamat bagi wanita yang tidak mahir berhijab.

Malah, rekaannya juga sesuai untuk warga emas kerana mudah dipakai.

Inovasi tersebut membolehkan produknya muncul tudung pertama di Malaysia tanpa menggunakan kerongsang.

“Di peringkat awal, saya berniaga secara sampingan dan terpaksa curi-curi masa ketika bekerja untuk melayan permintaan pelanggan di dalam talian.

“Saya masih ingat ketika tugasan liputan di Parlimen, rakan media lain sibuk menunggu perdana menteri, saya pula leka mengambil tempahan tudung,” katanya.

Mengimbau pengalaman itu, beliau mengakui yang dunia perniagaan sangat mencabar dan menuntut usaha keras untuk berjaya.

Beliau turut meluahkan rasa bangga kerana menjadi antara kumpulan peniaga pertama membuat perniagaan secara dalam talian.

Dengan menggunakan siaran secara langsung di aplikasi Facebook pada 2009, sebanyak RM1 juta jualan berjaya direkodkan.

Sehingga kini, beliau masih memanfaatkan aplikasi Facebook untuk membuat siaran langsung, selain menerusi TikTok.

Disebabkan sambutan yang luar biasa itu, Siti Murni kemudian nekad meninggalkan kerjaya selesanya pada 2018 bagi bergelar usahawan tudung sepenuh masa.

Inovasi magnet
Pelbagai inovasi diketengahkannya termasuk koleksi tudung yang menggunakan magnet khas.

Rekaan ini membolehkan tudung digayakan mengikut kemahuan si pemakai.

Selain itu, beliau turut menghasilkan koleksi telekung dan minyak wangi khas buat mereka yang berkulit sensitif.

Kini, Siti Murni bakal mengembangkan jenamanya ke dunia kosmetik pula.

“Langkah yang diambil bukanlah terburu-buru dan sekadar mengikut trend semasa untuk mendapatkan keuntungan.

“Keutamaan saya adalah pada mutu dan kualiti produk.

“Walaupun fesyen dan kosmetik berbeza tetapi proses pembuatannya sangat teliti agar selamat untuk digunakan masyarakat,” katanya.

Disiplin dalam perniagaan
Setiap usahawan mempunyai prinsip tersendiri dalam membina perniagaan, begitu juga dengan anak jati Kota Bharu ini.

Beliau menetapkan prinsip untuk tidak berniaga dengan orang terdekat lebih-lebih lagi sahabat sendiri.

“Keputusan saya itu bukan bermaksud untuk menjarakkan diri, namun sebagai langkah menjaga hubungan dan mengelakkan salah faham di kemudian hari.

“Saya sering mendengar keluhan kawan-kawan yang terpaksa bermurah hati menghalalkan barangan jualan secara percuma kepada kawan,” katanya.

Di sebalik jadual padat, Siti Murni tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu.

Malah, beliau bersyukur kerana keluarga sentiasa menjadi tulang belakangnya.

“Ada kalanya, anak saya menawarkan diri untuk membantu berniaga dalam talian tanpa ada rasa malu atau segan,” katanya.

Katanya, rutin tugasannya bermula dari pukul 8 pagi sehingga ke petang.

“Namun, jika bosan di rumah atau anak ada kelas tambahan, saya memanfaatkan peluang tersebut untuk membuat jualan secara langsung di media sosial,” katanya.

Wanita Ikon Selangor
Kejayaan dalam dunia perniagaan membolehkan Siti Murni dinobatkan sebagai pemenang Wanita Ikon Selangor 2024/2025.

Sepanjang pertandingan itu, beliau bersama calon-calon perlu melalui sesi penilaian yang sangat ketat.

Ia sekali gus membantu meningkatkan keyakinan dan ketahanan mentalnya.

“Pengalaman lalu sebagai pengamal media membolehkan saya kekal tenang walaupun berdepan dengan tekanan di khalayak ramai.

“Setiap peringkat ujian juga membantu saya untuk tampil memberi jawapan meyakinkan,” katanya.

Justeru, beliau menganggap kemenangan yang dikecapinya itu sebagai penghargaan buat dirinya setelah lebih 15 tahun menerajui dunia perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini