PUTRAJAYA: Warganegara asing yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk tujuan berniaga dan berniaga di negara ini akan dikenakan tindakan undang-undang lebih tegas.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, amaran itu dikeluarkan Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan mengenai penyalahgunaan PLS oleh warganegara asing untuk bekerja atau berniaga di negara ini.
“Oleh itu, peringatan tegas diberikan bahawa pemegang PLS tidak dibenarkan bekerja atau berniaga di Malaysia dan tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya undang-undang ini dilanggar,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri hari ini turut dimaklumkan mengenai kejayaan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan baru-baru ini.
“Semua mesyuarat serta perbincangan-perbincangan dua hala telah berjalan dengan baik dan lancar. Ini termasuk satu sesi ringkas antara Perdana Menteri bersama Presiden China, Xi Jinping.
“Dalam perbualan ringkas itu, antara yang telah disampaikan oleh Jinping kepada Perdana Menteri adalah penghargaan beliau terhadap kemajuan dalam perbincangan isu perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, yang telah dijayakan melalui rundingan awal delegasi kedua-dua negara di Kuala Lumpur semasa Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya. -UTUSAN










