PETALING JAYA: Kerajaan akan meneliti semula keperluan tenaga kerja asing bagi beberapa sektor termasuk restoran dan pembinaan susulan permohonan yang dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan selepas terdapat permohonan daripada beberapa sektor berhubung keperluan mendapatkan tenaga kerja termasuk dalam kalangan pekerja asing.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kementerian berkaitan mendapatkan maklumat lengkap daripada industri masing-masing sebelum perkara itu diteliti semula dalam mesyuarat akan datang.
Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, arahan itu melibatkan kementerian seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kerja Raya.
“Perdana Menteri telah mengarahkan agar kementerian-kementerian mendapatkan maklumat daripada industri dan sektor-sektor di bawah jagaan mereka untuk memberikan secara penuh dan lebih terperinci keperluan tenaga kerja termasuk pekerja asing.
“Perkara itu akan diteliti secara lanjut dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, penelitian lanjut itu dibuat mengambil kira dasar semasa negara berhubung had jumlah pekerja asing.
Katanya, maklumat daripada pihak industri penting bagi membolehkan kerajaan menilai keperluan sebenar setiap sektor sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Pada waktu ini terdapat dasar negara berkenaan had jumlah pekerja asing, maka kementerian-kementerian berkaitan diminta mendapatkan maklumat penuh daripada industri masing-masing.
“Maklumat itu penting supaya keperluan tenaga kerja termasuk pekerja asing dapat diteliti secara lebih terperinci dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang,” katanya. – UTUSAN










