Platform gagal tangani judi dalam talian boleh didenda RM10 juta

Platform gagal tangani judi dalam talian boleh didenda RM10 juta

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform media sosial boleh dikenakan penalti sehingga RM10 juta sekiranya gagal menangani kandungan atau iklan berkaitan judi dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu termasuk dalam aspek keselamatan dalam talian menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang terpakai terhadap semua platform media sosial.

Beliau berkata, garis panduan itu juga sudah berkuat kuasa dan perlu dipatuhi platform terlibat bagi memastikan ekosistem media sosial lebih selamat.

“Sekiranya pihak platform media sosial ini ingkar, tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka untuk menjamin keadaan dan ekosistem media sosial yang lebih baik termasuk tidak ada judi dalam talian, maka mereka boleh dikenakan tindakan.

“Tindakan itu sama ada dibawa ke mahkamah, didakwa di mahkamah ataupun dikenakan penalti kewangan sehingga jumlah RM10 juta,” katanya dalam sidang akhbar mingguan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu judi dalam talian yang masih menjadi antara kategori paling banyak diminta untuk diturunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mengulas mengenai isu judi dalam talian yang masih dikesan beroperasi menerusi iklan berbayar dan akaun palsu di platform media sosial, Fahmi berkata, perkara itu tertakluk di bawah aspek keselamatan dalam talian menerusi ONSA.

“Ini memang di bawah aspek keselamatan dalam talian ONSA yang terpakai terhadap semua platform media sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN