RUU kuota calon wanita dalam pilihan raya dirangka

RUU kuota calon wanita dalam pilihan raya dirangka

Wanita pilihan raya
AIMAN Athirah Sabu dan Mahfuz Omar ditemui pemberita dalam sidang akhbar pada Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara 2025, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Awan) bekerjasama dengan pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO) bagi menggubal rang undang-undang (RUU) yang mengikat parti politik supaya mencalonkan lebih 30 peratus wanita dalam pilihan raya.

Ketuanya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, perkara itu sedang dibincangkan dan akan dibawa ke dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Bahagian Wanita oleh NGO pada 11 November ini.

“Di peringkat Awan, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, kita ada 26 peratus calon-calon wanita, itu adalah paling tinggi sebenarnya dalam kalangan parti-parti komponen.

“Jadi, kita sebut wanita negara peneraju perubahan, kita percaya kepada parti untuk memberi ruang yang signifikan kepada kita dan itu boleh dirundingkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar Konvensyen Angakatan Wanita Amanah Negara 2025, hari ini.

Jelasnya, penetapan tersebut juga perlu disusuli dengan insentif-insentif kepada parti yang berjaya mengumpulkan calon sehingga 30 peratus atau lebih.

Beliau berkata, meskipun kuota 30 peratus itu dilaksanakan oleh parti-parti tanpa akta khusus sejak 30 tahun lalu, namun ia tidak pernah tercapai.

“Jadi, langkah ke depan, kita tidak boleh menggunakan formula yang sama, mesti ada akta yang mengikat. Itu cadangan kami yang akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Ia akan mencadangkan undang-undang baharu yang selari dengan peraturan pilihan raya dan juga tugas (bidang kuasa) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya.

Bagaimanapun, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan, di peringkat Awan, sasaran 50 peratus calon wanita akan diketengahkan menjelang PRU16.

Dalam perkembangan berasingan, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar memaklumkan, partinya akan bertanding satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, 29 November ini.

“Di Sabah, ada satu kelainan pada pilihan raya kali ini. Pertama, di peringkat Persekutuan, kita kawan (komponen Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)). Di Sabah nanti, kita menjadi lawan sesama parti.

“Jadi, sudah tentu pengagihan dan pembahagian adalah terhad. Jadi bila saya declare kita hanya bertanding satu kerusi sahaja dengan calon tempatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×