Pelaksanaan 5PC oleh Myanmar masih lemah

Pelaksanaan 5PC oleh Myanmar masih lemah

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN terhadap Myanmar masih lemah, menyebabkan ribuan pelarian Rohingya terus berdepan krisis kemanusiaan, khususnya di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, situasi pelarian Rohingya kini amat membimbangkan kerana tidak mendapat kerjasama Myanmar dan negara ASEAN lain.

Katanya, setakat ini tidak sampai 5,000 pelarian berjaya dipindahkan ke negara ketiga, jauh lebih rendah berbanding proses penempatan semula pelarian Vietnam suatu ketika dahulu.

“Pelaksanaan 5PC ini sangat lemah dan kesannya kepada beban di Bangladesh amat ketara, menjejaskan ribuan pelarian Rohingya yang masih hidup dalam kem.

“Usaha sudah ada tetapi pengurangan keganasan dan akses bantuan masih tersekat, bukan sahaja kerana kerajaan Myanmar tetapi juga konflik etnik di kawasan itu,” katanya ketika menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Mohamad, kerajaan juga sentiasa berhubung dengan pentadbiran Myanmar bagi mengenal pasti pelarian Rohingya yang layak kembali ke tanah air.

Bagaimanapun, proses tersebut masih sukar menemui jalan penyelesaian kerana situasi politik dan keselamatan di Myanmar yang masih belum stabil.

“Sejak Malaysia menjadi pengerusi ASEAN serangan keganasan terhadap kemanusiaan di Myanmar itu sudah banyak kurang. Kalau daripada 100 peratus, kini dah jadi 20 peratus sahaja.

“Usaha menangani kesengsaraan masyarakat Rohingya ini sedang dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak. Kita mahu penderitaan mereka dapat dikurangkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×