KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menyuarakan pendirian tegas terhadap isu Gaza secara terbuka di hadapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika sesi pertemuan rasmi bersama pemimpin dunia semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keberanian menegur pemimpin kuasa besar dunia itu mencerminkan ketegasan prinsip luar negara yang tidak tunduk kepada tekanan atau pengaruh luar, khususnya dalam isu kemanusiaan dan penindasan rakyat Palestin.
“Saya tidak mahu umumkan secara besar-besaran, tetapi fakta ini tidak boleh dinafikan. Tiada negara lain yang berani menyebut secara terbuka kepada Trump mengenai kezaliman di Gaza, kecuali Malaysia,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, walaupun teguran terhadap Trump dibuat dalam suasana diplomatik, ia disampaikan dengan mesej jelas bahawa Malaysia menuntut penyelesaian komprehensif terhadap krisis Gaza dan Palestin.
“Saya tidak hanya menyebut isu ini secara tertutup, tetapi di hadapan beliau sendiri, saya menegaskan bahawa penyelesaian di Gaza mesti bersifat menyeluruh dan adil. Itu sudah maksima yang boleh kita lakukan dalam konteks hubungan antarabangsa,” katanya.
Menurut Anwar, tindakan Malaysia menyuarakan isu Gaza secara berani itu membuktikan dasar luar negara kekal bebas dan berprinsip, walaupun dalam keadaan diplomatik yang sensitif melibatkan kuasa besar dunia.
“Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman. Walaupun ada tekanan, kita tetap teguh menyuarakan prinsip kemanusiaan. Ini bukan soal politik sempit, tetapi soal maruah dan keadilan sejagat,” katanya.
Anwar berkata, dasar perdagangan dan pendirian politik luar Malaysia tidak pernah bercanggah, sebaliknya saling melengkapi dalam memperjuangkan hak kemanusiaan tanpa mengorbankan kedaulatan negara.
“Kita mampu berunding dalam perdagangan tanpa menyerah kepada tekanan politik mana-mana kuasa. Pada masa sama, kita tetap mempertahankan hak rakyat Palestin dan menentang kekejaman Zionis,” katanya.
Anwar turut menyindir beberapa pihak yang menuduh kerajaan berdiam diri dalam isu Gaza, sedangkan Malaysia sentiasa menjadi antara suara terawal yang lantang di peringkat antarabangsa.
“Masalahnya, ada yang tidak tahu fakta tetapi cepat menghukum. Hakikatnya, Malaysia sudah lama bersuara, bukan hanya di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), malah di hadapan Presiden AS sendiri,” katanya.
Menurutnya, kerajaan akan terus memperjuangkan isu Palestin di setiap platform antarabangsa dan menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kekejaman di Gaza.
“Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa yang menindas. Malaysia akan terus bersama rakyat Palestin sampai bila-bila,” tegasnya. – UTUSAN










