Pemimpin Valencia letak jawatan akibat 'makan tengah hari ketika musim banjir' - Utusan Malaysia

Pemimpin Valencia letak jawatan akibat ‘makan tengah hari ketika musim banjir’

CARLOS MAZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VALENCIA: Presiden wilayah Valencia di timur Sepanyol, Carlos Mazón meletakkan jawatan semalam selepas berdepan tekanan hebat daripada rakyat dan parti politik berhubung cara beliau menangani tragedi banjir besar yang meragut 229 nyawa lebih setahun lalu.

Mazón, daripada Parti Rakyat (PP) yang berhaluan konservatif, sebelum ini enggan berundur walaupun dikecam hebat selepas terbongkar beliau menghabiskan lebih tiga jam menikmati makan tengah hari bersama seorang wartawan ketika banjir melanda dan ramai mangsa sedang lemas di rumah, garaj serta kenderaan mereka.

Tindakan degil beliau untuk kekal dalam jawatan mencetuskan gelombang protes besar-besaran di seluruh Valencia, dengan ramai penunjuk perasaan membawa slogan berbunyi: “Lumpur di tangan kami, darah di tangannya.”

Tinjauan terbaru menunjukkan 75 peratus penduduk wilayah itu mahu beliau berundur namun, semalam Mazón akhirnya akur dan mengumumkan pengundurannya daripada jawatan presiden wilayah.

“Saya tidak mampu meneruskan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan yang turut mengkritik keras kerajaan pusat atas tindak balas mereka terhadap krisis berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada pilihan raya tergempar akan diadakan, atau sama ada beliau akan turut melepaskan kerusi di parlimen wilayah yang memberinya kekebalan daripada pendakwaan.

Sebelum ini, Mazón mempertahankan dirinya dengan alasan tiada kerajaan di dunia mampu menghalang atau mengubah kejadian hujan luar biasa seperti yang melanda Valencia.

Beliau juga mendakwa sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui panggilan telefon semasa makan tengah hari bersama wartawan terbabit, Maribel Vilaplana namun, kemarahan rakyat memuncak selepas terbukti amaran kecemasan tidak dihantar ke telefon bimbit penduduk sehingga selepas jam 8 malam, iaitu ketika kebanyakan mangsa sudah pun terkorban.

Ketika menghadiri upacara memperingati ulang tahun pertama tragedi tersebut di Valencia minggu lalu, Mazón disambut dengan jeritan ‘pembunuh’, ‘pengecut’ dan ‘patut masuk penjara’.

Beliau mengakui terdapat perkara yang sepatutnya berjalan lebih baik, namun tidak mengulas lanjut.

Siasatan Parlimen Sepanyol serta siasatan kehakiman di Valencia kini sedang dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah seperti pembunuhan dan kecuaian yang menyebabkan kematian boleh dielakkan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×