Pas utamakan penyatuan umat, bukan siapa bakal PM

Pas utamakan penyatuan umat, bukan siapa bakal PM

ANNUAR Musa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fokus utama Pas ketika ini untuk memperkukuh perpaduan politik orang Melayu dan umat Islam, bukannya berbahas mengenai siapa calon Perdana Menteri.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, parti itu menghormati pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyentuh mengenai sebab Pas belum menamakan calon Perdana Menteri kerana agenda penyatuan ummah jauh lebih penting pada masa ini.

“Kita menghargai dan menghormati pandangan Tun M (Dr. Mahathir). Namun keutamaan Pas adalah menyatupadukan kekuatan politik orang Melayu dan umat Islam supaya kita mampu memimpin masyarakat berbilang bangsa berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mendakwa, Pas tidak menamakan calon Perdana Menteri kerana sedar parti itu belum mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.

Menurut Dr. Mahathir, Pas akur bahawa mereka memerlukan sokongan lebih luas terutama di luar kawasan tradisi Pantai Timur bagi menawan Putrajaya.

Annuar berkata, tidak wajar untuk menimbulkan polemik mengenai jawatan Perdana Menteri jika kekuatan politik masih belum kukuh.

“Tiada guna kita berpolemik soal calon PM jika kita belum mempunyai kekuatan. Lebih-lebih lagi jika isu tersebut hanya menambah kegawatan dan perpecahan,” katanya

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan bahawa individu yang layak menjadi Perdana Menteri mestilah seorang ahli Parlimen yang mendapat keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, fokus Pas ketika ini adalah membina kekuatan melalui penyatuan dan muafakat, bukan mengejar jawatan.

“Apabila tiba masanya, jika ada seseorang daripada Pas yang memenuhi syarat tersebut dan dengan izin Allah, maka dia lah yang akan menjadi Perdana Menteri.

“Pas sentiasa terbuka dan bersederhana dalam soal jawatan serta pangkat. Jawatan itu amanah yang berat. Tidak perlu berebut sehingga sanggup berpecah,” katanya.

Pas kini mempunyai 43 kerusi Dewan Rakyat, sekali gus menjadikannya parti dengan jumlah kerusi terbesar mengatasi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×