Amanah Raya tingkat kesedaran pengurusan pusaka

Amanah Raya Grand Seminar tingkat kesedaran pengurusan pusaka

AHLI Majlis Pengawasan Syariah Amanah Raya Berhad, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab (dua kiri) semasa menghadiri Amanah Raya Grand Seminar, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), peneraju utama dalam perancangan pewarisan negara terus memperkukuh peranannya dalam industri pengurusan pusaka dan perancangan pewarisan menerusi penganjuran ‘AmanahRaya Grand Seminar 2025’.

Bertemakan ‘Pemegang Amanah Pilihan Anda’, seminar berprestij itu dijalankan secara hibrid, melibatkan lebih 500 peserta secara fizikal dan dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

Menyusuli kejayaan ‘AmanahRaya Online Conference 2024’, seminar tersebut dianjurkan sekali lagi pada kali ini, bagi membincangkan isu-isu penting dalam bidang Perancangan Pewarisan seperti Pentadbiran Pusaka dan Penulisan Wasiat.

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Amanah Raya Berhad, Lokman Ab Latif berkata, pihaknya menerima sokongan dan penyertaan daripada pelbagai sektor sama ada agensi kerajaan, swasta, pakar kewangan dan orang awam, kerana mereka juga percaya seminar ini berfungsi sebagai wadah yang efektif untuk membincangkan cabaran semasa dalam pengurusan harta pusaka.

“Ia juga dapat merangka penyelesaian yang praktikal dan inklusif untuk memupuk kesejahteraan masyarakat di Malaysia.

“Statistik menunjukkan hanya sekitar lima peratus rakyat Malaysia yang mempunyai wasiat. Justeru, seminar ini memainkan peranan penting dalam menghimpunkan pemain industri utama untuk menggembleng usaha meningkatkan literasi pewarisan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Penganjuran seminar itu turut mengukuhkan kerjasama strategik AmanahRaya bersama rakan-rakan utamanya seperti Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) selaku penaja.

Kolaborasi ini menjadi pemangkin kepada pembangunan pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu dalam memperkasa bidang perancangan pewarisan di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×