LONDON: Bekas pertahanan England, Rio Ferdinand mendakwa pengendali Liverpool, Arne Slot terlalu banyak alasan dan memberi penjelasan tidak munasabah berkaitan kemerosotan prestasi The Reds.
Slot sebelum ini mengakui Liverpool bergelut apabila berdepan pasukan yang bermain secara terus dan banyak menggunakan hantaran tinggi, selain tewas dalam perebutan bola kedua.
Pasukan itu kini mengalami kejatuhan mendadak selepas tewas empat perlawanan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), menyaksikan mereka jatuh dari tangga teratas ke tempat ketujuh, tujuh mata di belakang pendahulu, Arsenal.
“Anda mahu pengendali bercakap secara terbuka, tetapi jika anda penyokong Liverpool, anda pasti tertanya-tanya, ‘mengapa dia bercakap begini, mengapa terlalu banyak alasan?
“Alasan seperti ‘pasukan lawan banyak main bola jauh’ tidak boleh diterima. Ada pelbagai cara untuk bermain bola sepak, bukan hanya tiki-taka. Kalau pasukan menjaringkan gol menerusi situasi bola mati seperti Arsenal, siapa peduli? Yang penting menang.
“Mereka ada antara pemain terbaik dunia. Van Dijk dan Ibrahima Konate, dua pertahanan tengah terbaik dunia, serta dua bek sisi yang dibeli dengan harga tinggi. Mereka patut mampu menyesuaikan diri.” kata Ferdinand.
Jelas bekas pemain Manchester United itu, jika lawan banyak menggunakan hantaran jauh, Liverpool perlu menang bola pertama dan pastikan pemain tengah rapat untuk merebut bola kedua.
Ferdinand turut menyifatkan banyak aktiviti perpindahan musim panas dilakukan Slot antara faktor yang mengganggu kestabilan skuad. – AGENSI/UTUSAN










