Selangor gerak 5,000 anggota agensi negeri, Persekutuan hadapi MTL

Selangor gerak 5,000 anggota agensi negeri, Persekutuan hadapi MTL

Selangor MTL
AMIRUDIN Shari melepaskan Skuad Pengurusan Bencana Negeri Selangor di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 5,000 anggota dan pegawai pelbagai agensi Kerajaan Negeri Selangor dan Persekutuan digerakkan bagi menghadapi peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlarutan sehingga Februari tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kesiapsiagaan kali ini membabitkan lebih 20 agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, turut serta ialah pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat-pejabat tanah serta pelbagai jabatan lain di bawah kelolaan Unit Bencana Negeri.

Beliau berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2025 peringkat negeri, sebagai kesinambungan kepada pelancaran peringkat kebangsaan yang diadakan dua minggu lalu.

“Pelarasan terhadap aktiviti dan latihan kesiapsiagaan telah dimulakan sejak Julai dan Ogos bagi memastikan semua agensi berada pada tahap bersiap sedia tertinggi menjelang musim tengkujuh.

“Hari ini boleh dikatakan kita berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi, khususnya apabila memasuki musim peralihan monsun yang telah bermula dan dijangka berlarutan hingga awal tahun depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Pelepasan Skuad Pengurusan Bencana Negeri Selangor, hari ini.

Katanya, antara kawasan tumpuan ialah lokasi ‘hotspot’ banjir di seluruh Selangor yang kini berada dalam pemantauan rapi dan akan dipertingkatkan tahap kesiapsiagaannya menjelang Disember, berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku ketika itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×