KUALA LUMPUR: Institusi kewangan diwajibkan mengeluarkan notis bertulis kepada pemegang akaun yang ditutup atas syak pengubahan wang haram sebagai langkah memperkukuh ketelusan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, notis itu perlu disertakan dengan sebab penutupan akaun tanpa mendedahkan maklumat sensitif siasatan bagi mengelakkan kebocoran maklumat.
Katanya, notis tersebut juga perlu menerangkan hak pemegang akaun untuk mengemukakan rayuan termasuk saluran rayuan tersedia, tempoh masa diperuntukkan serta proses yang perlu diikuti untuk mengemukakan permohonan rayuan.
“Ia bagi memastikan proses pengendalian rayuan akaun bank yang ditutup atas syak pengubahan wang haram dilaksanakan dengan lebih telus, berkesan dan tidak membebankan pemegang akaun.
“Ini antara langkah telah diambil bagi memperkemas koordinasi antara institusi kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi penguat kuasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) mengenai langkah kerajaan memperkemas koordinasi antara bank, BNM dan agensi penguat kuasa bagi mempercepat proses pengendalian rayuan akaun bank ditutup disyaki pengubahan wang haram (AMLA) supaya prosedur lebih telus, berkesan dan tidak membebankan pemegang akaun.-UTUSAN











