Keputusan kes Syed Saddiq diketahui Khamis

Keputusan kes Syed Saddiq diketahui Khamis

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas menunggu selama tujuh bulan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengetahui pada Khamis ini sama ada Mahkamah Tinggi di sini membebas atau mensabitkan beliau atas pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Keputusan pada akhir kes pembelaan itu diumumkan oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid pada 9 November ini.

Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah dan salah guna harta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Mahkamah akan bergantung kepada keterangan empat saksi pembelaan termasuk Ahli Parlimen Muar itu serta penghujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.

Selain Syed Saddiq, saksi-saksi lain terdiri daripada bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin dan bekas setiausaha peribadinya, Siti Nurul Hidayah.

Pihak pembelaan menutup kes pada 14 Mac lalu manakala pendakwaan pula menutup kes pada 27 September 2022 selepas 30 saksi selesai memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 21 Jun 2022.

Pada 10 April dan 11 April lalu, Hakim Azhar mendengar penghujahan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd. ‘Afif Ali serta peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq.

Antara hujah yang dibangkitkan oleh Wan Shaharuddin ialah Syed Saddiq tidak boleh menggunakan wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) untuk menggantikan wangnya sendiri yang kononnya didahulukan untuk menjayakan kempen politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Akaun ABBE milik Rafiq Hakim Razali (saksi pendakwaan ke-13 (SP13) itu digunakan untuk dua program meraih dana melalui majlis makan malam di Ampang, Selangor dan Muar yang mana kesemua bayaran untuk majlis itu dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

Ini kerana katanya, wang berjumlah RM120,000 tersebut tidak digunakan bagi tujuan kempen politik beliau atau mana-mana ahli Armada, sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya.

Mahkamah turut mendengar penghujahan pihak pembelaan bahawa tiada bukti menunjukkan Syed Saddiq bersubahat dengan Rafiq Hakim yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah dana RM1 juta milik Armada.

Gobind berhujah, bukti keterangan kes menunjukkan kedua-dua bekas pemimpin Armada itu pada setiap masa bertindak demi kepentingan sayap parti tersebut selaras dengan Perlembagaan Bersatu.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×