SELEPAS menamatkan ‘badi’ kerajaan sepenggal dengan kekal mentadbir Kerajaan Negeri Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Pas bersama rakan gabungannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali lagi meletakkan sasaran kemenangan mutlak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.
Jika tiada rekod, pasti ramai ragu-ragu sasaran itu mampu dicapai sepertimana ketika mula-mula Pas Terengganu bersama Perikatan Nasional (PN) menyasarkan kemenangan semua 32 kerusi DUN, iaitu enam bulan sebelum PRN 2023 dilaksanakan.
Bagaimanapun Pas membuktikan mereka bukan ‘cakap kosong’ apabila buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Negeri Terengganu diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak mempunyai pembangkang setelah PN menyapu bersih semua kerusi DUN dalam pilihan raya berkenaan.
Sasaran itu menjadi cabaran sangat besar bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang ibarat terkena ‘pukulan sehingga terduduk’ dengan keputusan PRN 2023. Ia hakikat pahit ditelan parti berkenaan.
Sebagai sebuah parti politik, UMNO tidak boleh sekali lagi tanpa kelibat wakilnya dalam DUN Terengganu buat penggal kedua berturut-turut. Parti itu tidak boleh membiarkan keputusan sama berulang jika tidak mahu pengaruhnya luntur dan kekal ‘bernafas’ di negeri ketujuh terbesar di Malaysia ini.
Jika tidak menawan semula pentadbiran kerajaan negeri, UMNO sekurang-kurangnya perlu mempunyai kerusi DUN bagi menyuburkan sistem semak dan imbang.
Berdasarkan beberapa sumber, UMNO Terengganu ketika ini mempunyai peluang untuk merampas sekurang-kurangnya tujuh kerusi DUN pada PRN akan datang. Terdapat beberapa kawasan dilihat sengit seperti Seberang Takir, Telemong, Permaisuri dan Hulu Besut yang membuka ruang untuk parti itu memberi tentangan.
Di bawah teraju Datuk Rozi Mamat, UMNO Terengganu memperkenal tema ‘Kita Melangkah Untuk Berubah’ menggambarkan iltizam membawa pendekatan lebih segar, realistik dan menepati kehendak rakyat. Satu perkara positif buat UMNO Terengganu adalah apabila parti itu belajar pengalaman lalu dan mahu bangkit semula bermula daripada kesedaran.
Pada masa sama, UMNO dan BN Terengganu memilih tidak bersandar kepada nostalgia tetapi memperbaiki kelemahan lalu. Mereka mengakui mahu mendengar suara rakyat dan membawa agenda baharu lebih realistik serta inklusif seperti Jelajah Terjah, Thalatha Tis’a dan penglibatan terus kepemimpinan ke akar umbi adalah sebahagian daripada usaha membina semula kepercayaan rakyat.
Cabaran UMNO kali ini lebih getir tetapi tidak mustahil. Realitinya, sasaran kemenangan mutlak PN bukan lagi sekadar omongan kosong, UMNO Terengganu perlu bekerja lebih keras jika ingin memecahkan angka ‘0’ di negeri ini.-UTUSAN










