Pesakit terakhir Ebola di Congo disahkan pulih - Utusan Malaysia

Pesakit terakhir Ebola di Congo disahkan pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KASAI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan seorang pesakit terakhir wabak Ebola di Republik Demokratik Congo sudah dibenarkan keluar dari pusat rawatan di wilayah Kasai, menandakan pencapaian besar dalam usaha menamatkan penularan penyakit itu.

Pesakit tersebut adalah individu ke-19 yang pulih sepenuhnya daripada keseluruhan 64 kes yang dilaporkan sejak wabak bermula awal September, termasuk 53 kes yang disahkan dan 11 kes berkemungkinan besar.

Tiada kes baharu dikesan sejak 25 September, dan negara kini memasuki fasa pemantauan 42 hari, satu langkah penting sebelum pengisytiharan rasmi bahawa wabak telah berakhir.

“Ini satu kejayaan luar biasa. Hanya dalam enam minggu selepas wabak diumumkan, kita telah berjaya mengawal penularannya,” kata Dr Mohamed Janabi, Pengarah WHO untuk Afrika, yang turut memuji tindakan pantas kerajaan DR Congo dan rakan-rakan antarabangsa.

Wabak ke-16 Ebola di Congo itu melanda wilayah luar bandar seperti zon kesihatan Bulape dan Mweka, kawasan yang sukar dicapai kerana infrastruktur terhad dan keadaan jalan yang teruk.

Walaupun berdepan cabaran logistik, pasukan kesihatan berjaya melaksanakan kawalan wabak secara menyeluruh termasuk rawatan klinikal, pengawasan kes, pengurusan jangkitan, penghantaran bekalan penting dan penglibatan komuniti setempat.

Rakaman video dari pusat rawatan menunjukkan petugas kesihatan meraikan pemulihan pesakit terakhir, satu detik simbolik yang memberi harapan kepada negara yang telah berulang kali diuji dengan wabak Ebola sejak beberapa dekad lalu.

Congo pernah mencatat wabak Ebola paling teruk di dunia, namun kejayaan kali ini disifatkan sebagai bukti kerjasama tempatan dan antarabangsa mampu mengatasi cabaran kesihatan awam yang kompleks.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×