KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyeru negara-negara sekutu supaya tidak tunduk kepada tekanan atau rayuan damai dari Russia, sambil memberi amaran sebarang bentuk ‘pujukan hanya akan menguatkan keganasan yang dilakukan oleh Kremlin.
Seruan itu dibuat selepas lawatan beliau ke Amerika Syarikat (AS) gagal menghasilkan komitmen baharu dalam bantuan ketenteraan.
Zelensky sebelum ini datang ke Washington dengan harapan tinggi untuk mendapatkan peluru berpandu jarak jauh jenis Tomahawk daripada AS, tetapi pulang tanpa sebarang jaminan.
Presiden AS, Donald Trump lebih memberi tumpuan kepada rundingan damai Gaza dan kini menyasarkan kejayaan diplomatik yang boleh memperkukuh kedudukannya menjelang pilihan raya akan datang.
“Ukraine tidak akan memberikan sebarang ganjaran kepada pengganas atas jenayah mereka, dan kami berharap rakan-rakan kami berpegang pada pendirian yang sama,” kata Zelensky menerusi satu kenyataan media sosial sejurus tiba di Kyiv.
Beliau juga menyeru negara-negara Eropah dan AS mengambil tindakan lebih tegas bagi mengekang tindakan agresif Russia, terutama setelah Moscow meningkatkan serangan ke atas infrastruktur awam Ukraine dalam beberapa minggu terakhir.
Trump pula mengambil pendekatan yang lebih diplomatik, dengan memaklumkan beliau mengadakan perbualan telefon panjang bersama Putin dan bersetuju bertemu dalam masa terdekat di Budapest.
Beliau menyifatkan pertemuannya dengan Zelensky sebagai “menarik dan mesra,” namun memberi penekanan bahawa sudah tiba masanya untuk “hentikan pertumpahan darah dan capai PERJANJIAN!”
Dalam tempoh seminggu lalu sahaja, Russia didakwa melancarkan lebih 3,200 dron, 1,370 bom udara berpandu dan hampir 50 peluru berpandu ke atas Ukraine.
Serangan bertubi-tubi itu menyebabkan ribuan penduduk kehilangan akses kepada bekalan elektrik dan pemanas menjelang musim sejuk.
Ukraine pula bertindak balas dengan melancarkan serangan balas ke atas wilayah sempadan barat Russia serta beberapa kilang minyak dan gas utama.
Beberapa loji kimia yang terletak lebih 1,000 kilometer dari barisan hadapan turut rosak teruk, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan Russia.
Di medan perang, tentera Russia mendakwa mereka menawan dua buah kampung di wilayah Donetsk dan Zaporizhzhia dalam serangan darat yang berterusan. Kedua-dua pihak juga saling mendakwa telah memintas puluhan dron dalam pertempuran yang berlarutan sepanjang malam.










