KOTA BHARU: Kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi, jelas menggembirakan kem Sabah FC.
Ketua jurulatihnya, Jean-Paul de Marigny berkata, beliau berasa gembira bukan hanya kerana kemenangan itu sendiri tetapi ini merupakan kali pertama pasukan kendaliannya dalam menjalani sesi latihan seminggu penuh.
Menurutnya, ia sangat membantu kerana beliau serta seluruh pasukan mempunyai ruang untuk berbincang mengenai keperluan mengubah corak permainan setelah melalui tiga kekalahan berturut-turut dalam perlawanan Liga Super sebelum ini.
“Ini kali pertama kami dapat menjalani latihan seminggu penuh dan ia memberi ruang kepada pemain-pemain untuk lebih memahami bagaimana kami mahu bermain dan berjaya melaksanakan setiap perancangan dengan baik.
“Bagaimanapun ini baru fasa pertama (perubahan corak permainan) dan kami akan bertambah baik selepas ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Beliau berkata, gol pertama dijaringkan oleh Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew malam tadi merupakan jenis jaringan yang dimahukan olehnya kerana corak permainan Sabah FC dibentuk ke arah itu.
Katanya, kejayaan menjaringkan gol sebegitu akan membolehkan barisan pemain melahirkan satu bentuk kepercayaan diri untuk terus berusaha melakar kejayaan selepas ini.
“Saya sentiasa berkeyakinan tidak kira dalam perlawanan di halaman sendiri atau selaku pelawat. Itu yang kami mahu tanamkan dalam diri pemain-pemain. Kepercayaan diri dan menjadi berani serta kekal dalam kerangka pasukan,” katanya. – UTUSAN










