Moratorium tiga bulan - Utusan Malaysia

Moratorium tiga bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan program bantuan PEMERKASA Tambahan (PEMERKASA Plus) berjumlah RM40 bilion termasuk pemberian moratorium selama tiga bulan kepada golongan B40 dan industri terkesan terburuk selepas pelaksanaan sekatan pergerakan sepenuhnya yang bermula hari ini.

Di bawah program bantuan terbaharu membabitkan suntikan fisikal RM5 bilion, akan menyaksikan peruntukan RM2.1 bilion untuk program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menerusi bantuan tambahan itu, isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 akan me­nerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500, isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 sebanyak RM300 manakala golongan bujang menerima RM100.
BPR tambahan itu akan dimasukkan ke dalam akaun penerima pada hujung Jun dan menjadi bayaran terakhir BPR bulan September kelak seba­nyak RM2.4 bilion.

Usaha kerajaan terbaharu ini bagi menangani kesan negatif akibat penutupan kebanyakan sektor ekonomi selama dua minggu di bawah total lockdown selepas kes Covid-19 harian melonjak melebihi 9,000 kes dan hampir melumpuhkan sistem kesihatan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedar golongan B40 dan rakyat kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi terkesan teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MUHYIDDIN YASSIN

Katanya, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), golongan B40 dan rakyat terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan perusahaan PKS diberi pilihan mendapatkan kelulusan moratorium automatik selama tiga bulan atau mendapatkan pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 pe-ratus selama enam bulan.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada Jun yang dijangka memanfaatkan lebih da­ri lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion. Insya-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok (hari ini).

“Saya berharap pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan. Para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat manfaat bantuan ini,” katanya dalam perutusan yang disiarkan malam tadi.

PEMERKASA Tambahan adalah inisiatif bantuan ketujuh yang dilaksanakan kerajaan bagi menangani kesan negatif disebabkan pandemik yang telah menjangkiti 572,000 rakyat serta meragut lebih 2,600 nyawa sejak tahun lalu.
Sehubungan itu, kerajaan juga menambah peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuhkan kesihatan.

“Langkah-langkah yang akan diberi perhatian ialah memperuntukkan RM450 juta bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan unit rawatan rapi (ICU) bagi rawatan Covid-19 bukan sahaja di hospital seliaan Kementerian Kesihatan tetapi juga di hospital pengajar universiti awam di UiTM, UPM, UKM dan USM serta melalui hospital medan ATM seperti di Sabah dan Sarawak selain penyumberan sumber luar kepada hospital swasta.

Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, memperuntukkan RM550 juta untuk menampung pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan Covid-19 serta melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022.

“Sebagai tambahan, kerajaan akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak,” katanya.

Kerajaan juga melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan peruntukan RM1 bilion yang membolehkan pengusaha bas dan teksi mendapat moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

Peminjam pendidikan boleh memohon menjadualkan semula bayaran balik pinjaman manakala usahawan Mara bo­leh memohon diskaun 30 peratus ke atas sewaan untuk Mei sehingga Julai ini.
Kerajaan juga melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah Perkeso selama satu bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan membabitkan kos RM1.5 bilion. Seramai 2.5 juta pekerja dan lebih 200,000 majikan dijangka mendapat manfaat.
“Majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada Jun ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan melaksanakan lockdown sesuatu yang sukar tetapi terpaksa dibuat bagi menangani bencana ini.

Kerajaan juga mengumumkan bantuan seperti Geran Khas Prihatin (GKP) dan kadarnya ditambah sebanyak RM500 ke­pada RM1,500 yang memanfaatkan hampir satu juta PKS dan perusahaan mikro akan me­nerima RM1,000 pada per­tengahan Jun dan RM500 ringgit lagi akan disalurkan pada Julai.

Lembaga Hasil Dalam Nege­ri (LHDN) juga akan mempertimbangkan rayuan pengenaan penalti dan menangguhkan pembayaran penalti ke tahun 2022, melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik, memberi potongan khas kepada pemilik bangunan melanjutkan pengecualian duti setem kepada 31 Disember ini bagi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang akan berakhir semalam, melanjutkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD dan CBU import.

“Jika saudara dan saudari gagal mematuhi arahan ini (stay at home), maka kita semua akan gagal,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×