RIYADH: Impian bintang Johor Darul Ta’zim dan Malaysia, Arif Aiman Hanapi untuk membawa pulang gelaran Pemain Terbaik Asia tidak kesampaian apabila tewas kepada bintang Arab Saudi, Salem Al-Dawsari.
Begitupun, Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diiktiraf antara tiga terbaik dalam pembangunan akar umbi.
Pemain Jepun, Hana Takahashi pula menerima anugerah Pemain Wanita Terbaik Asia pada majlis gilang-gemilang Anugerah AFC ke-29 di Pusat Kebudayaan King Fahad, Riyadh, semalam.
Arif Aiman adalah antara tiga calon akhir bersama bintang Qatar, Akram Afif dan Salem untuk anugerah edisi ke-29 itu.
Al-Dawsari meraih pengiktirafan selepas musim cemerlang 2024-25 bersama Al Hilal, menjadi penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Elit AFC, membantu pasukannya mara ke separuh akhir serta menyerlah di Piala Dunia Kelab FIFA hingga ke suku akhir.
Di peringkat domestik pula, pemain berusia 34 tahun itu juga menjadi pencipta gol terbanyak liga sepanjang zaman selain menjaringkan 15 gol musim ini.
Ini adalah kemenangan kedua buat Al-Dawsari selepas memenanginya pada tahun 2022, sekali gus menjadikannya pemain Arab Saudi pertama menang dua kali dan hanya pemain keempat dalam sejarah melakukannya selepas Hidetoshi Nakata (Jepun), Akram Afif (Qatar) dan Server Djeparov (Uzbekistan).
“Saya ingin berterima kasih kepada semua yang menyokong saya. Ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada cita-cita lebih besar.
“Saya akan terus berusaha untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” kata Al-Dawsari.
Sementara itu, Takahashi, 25, menerima anugerah selepas mengetuai Urawa Red Diamonds Ladies memenangi piala domestik dan menamatkan saingan liga di tempat ketiga, selain membantu pasukan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Wanita AFC.
Pemain pertahanan itu turut digunakan di posisi serangan dan mencipta impak besar dengan 12 jaringan dalam semua kejohanan.-AGENSI/UTUSAN










