Cklamovski kena cari pengganti Arif Aiman

Cklamovski kena cari pengganti Arif Aiman

Arif Aiman Hanapi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian peminat untuk melihat pemain sensasi negara, Arif Aiman Hanapi kembali bersama Harimau Malaya dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac ini semakin tipis.

Ini selepas bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu masih belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan selepas mengalami kecederaan otot paha ketika aksi kelayakan menentang Nepal, November tahun lalu.

Kehilangannya pasti dirasai memandangkan Arif antara tonggak penting skuad negara dan bagi mengisi kekosongan itu, ketua jurulatih negara, Peter Cklmovski perlu bertindak segera menilai pemain terbaik di Liga Malaysia (Liga M).

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, Arif Aiman perlu diberikan masa secukupnya untuk kembali beraksi bagi mengelak pemain berbakat besar itu berdepan kecederaan berulang yang boleh memberi risiko kepada kariernya.

“Saya rasa Arif Aiman sudah hampir pulih, cuma persoalannya adakah dia boleh dapatkan semula prestasi sebenar. Itu yang jadi kegusaran, kalau dia masih 50-50, lebih baik tunggu dia pulih sepenuhnya dan betul-betul bersedia.

“Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk gunakan khidmatnya, sekarang Cklamovski kena bergerak cari pengganti terbaik. Saya fikir ada beberapa nama yang mampu mengisi kekosongan bagi tempat Arif Aiman dalam skuad kebangsaan.

“Kita boleh tengok Ramadan Saifullah (Kuching City), Akhyar Rashid dan Baqiuddin Shamsudin (Terengganu FC) untuk isi posisi Arif Aiman selain Faisal Halim (Selangor FC) yang sudah kembali ke prestasi sebenar ketika ini.

“Jadi saya harap biar Arif Aiman kembali pulih daripada segi mental dan fizikal terlebih dahulu, sekarang dia berada di tempat yang betul, di JDT yang memang miliki fasiliti perubatan dan kepakaran luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Untuk rekod, di peringkat kelab, Arif Aiman sudah meledak 61 gol dan mencipta 66 bantuan jaringan dalam semua pertandingan, manakala di pentas antarabangsa, dia telah mengumpul 40 kaps bersama Harimau Malaya serta merekod lapan jaringan.

Dalam itu, mengulas mengenai perkembangan proses naturalisasi Bergson Da Silva, Sulaiman berkata, kehadiran penyerang kelahiran Brazil itu boleh menjadi dimensi baharu kepada skuad Harimau Malaya, khususnya dari segi pengalaman dan fizikal permainan.

“Jika proses naturalisasi ini menjadi kenyataan, ini akan memberi nilai tambah biarpun Bergson sebelum ini turut bergelut untuk menjaringkan gol di peringkat tertinggi bersama JDT. Tetapi jika Bergson layak, tidak salah untuk kita mencuba,” katanya.

Penyerang berusia 35 tahun itu tampil prolifik bersama JDT dengan 176 gol sejak 2021 termasuk 32 gol sepanjang 2025 dan 16 jaringan awal musim 2026, menjadikannya antara penyerang paling digeruni di Asia Tenggara.

Aksi menentang Vietnam dijangka berlangsung dalam suasana penuh tekanan memandangkan kedua-dua pasukan bersaing bersaing untuk muncul juara Kumpulan F untuk layak secara automatik ke Piala Asia 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×