'Bukan senang capai tahap ini'

‘Bukan senang capai tahap ini’

ARIF Aiman Hanapi selesa beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT). - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Hanapi meminta peminat supaya tidak membuat sebarang andaian tidak berasas mengenai perjalanan kariernya, terutama berkaitan keputusannya untuk terus beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Pemain berusia 24 tahun itu tampil menjelaskan perkara tersebut selepas menerima pertanyaan daripada seorang peminat di media sosial yang mempersoalkan keputusannya untuk kekal bersama JDT meskipun sudah beberapa musim mempamerkan prestasi konsisten dan sering dikaitkan dengan peluang beraksi di luar negara.

Menurut Arif Aiman, ramai tidak mengetahui pengorbanan serta cabaran yang terpaksa dilaluinya sepanjang perjalanan karier untuk mencapai tahap yang dinikmatinya ketika ini.

“Pertama sekali, macam mana awak tahu saya selesa tak ada tekanan di sini semua? Awak tak tahu betapa bergelut dan berkorban untuk saya capai ke tahap ini.

“Awak jangan buat andaian macam awak tahu diri saya macam mana dan bukan senang untuk saya capai ke tahap di mana saya berada sekarang,” katanya menerusi hantaran balas kepada seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Sderlla di platform Threads.

Pemenang hatrik Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu berkata, setiap kejayaan yang diraih hari ini hadir bersama pelbagai cabaran yang mungkin tidak diketahui umum.

“Kita bercakap kadang kala kena fikir dulu sebab awak tak tahu saya dari bawah untuk naik sampai ke tahap ini sangat susah, banyak cabaran yang korang tak tahu,” ujarnya.

Kenyataan tersebut hadir ketika Arif Aiman kembali mencuri perhatian selepas berjaya menamatkan musim 2025-2026 dengan cemerlang bersama JDT.

Selepas hampir enam bulan diketepikan akibat kecederaan dan menjalani proses pemulihan yang panjang, pemain kebangsaan itu kembali beraksi menjelang penghujung musim sebelum memainkan peranan penting membantu Harimau Selatan menjulang Piala Malaysia pada Mei lalu.

Kepulangannya ke padang bukan sahaja memberi suntikan besar kepada JDT, malah menjadi petanda positif menjelang kempen baharu yang bakal bermula tidak lama lagi.

Dengan tahap kecergasan yang semakin meningkat dan bebas daripada masalah kecederaan, Arif Aiman dilihat bersedia untuk kembali mengemudi jentera serangan JDT dalam usaha mempertahankan dominasi kelab itu di pentas domestik serta saingan Asia.

Dalam masa sama, prestasi semasanya turut membuka peluang untuk beliau kembali menyarung jersi kebangsaan menjelang aksi Piala ASEAN 2026 yang dijadual berlangsung bulan ini.

Kehadiran semula Arif Aiman pastinya menjadi khabar gembira buat skuad negara yang memerlukan sentuhan pemain kreatif dan berpengalaman bagi menghadapi cabaran di pentas serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN