PETALING JAYA: Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kini hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Korea Selatan (K-League 1) bersama Jeonbuk Hyundai Motors.
Ini selepas sebuah laman sosial gosip sukan Korea Selatan, Add-ontime, mendakwa telah berlaku perbincangan lisan di antara kedua-dua pihak, sekali gus menimbulkan perdebatan antara peminat.
Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada sebarang pengesahan rasmi berhubung perpindahan pemain berusia 24 tahun itu ke luar negara dan difahamkan khidmatnya masih diperlukan oleh Harimau Selatan.
Pemain sayap lincah Harimau Malaya berusia 24 tahun itu ketika ini masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan berikutan kecederaan hamstring yang dialaminya pada November lalu.
Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berkata, sekiranya benar Arif Aiman mendapat tawaran ke K-League 1, ia adalah peluang terbaik untuk pemain itu mengembangkan lagi bakatnya.
“Bukan saya kata bersama JDT tidak bagus, cuma jika dapat ke luar negara dan bermain dalam kesebelasan utama, ia akan menambahkan lagi kualiti yang dimiliki oleh Arif Aiman dalam karier bola sepaknya.
“Saya percaya dengan bakat yang dimiliki, Arif Aiman tidak akan ke luar negara untuk berada di bangku simpanan, dia akan berada dalam kesebelasan utama, tidak seperti beberapa pemain Malaysia sebelum ini.
“Di Liga Malaysia, Arif Aiman sudah berada dalam kelas tersendiri, lebih-lebih lagi bersama JDT. Apa-apa pun, segala keputusan terletak di tangan pemain dan kelab juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Hassan, apa yang menjadi kebimbangan ketika ini adalah bagaimana prestasi Arif Aiman selepas pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami ketika mewakili Malaysia pada November lalu.
Sebelum ini, Arif Aiman pernah menegaskan beliau mahu kekal bersama JDT memandangkan pasukan itu tetap menghadirkan cabaran yang dapat membantunya untuk terus melonjakkan prestasi ke tahap lebih tinggi.
“Saya ingin teruskan sampailah saya mencapai ke tahap yang saya inginkan. Apabila bercakap mengenai cabaran itu, bukanlah kita mahu katakan yang lain di luar itu bagus atau tidak bagus.
“Tetapi cabaran saya di dalam Malaysia atau di JDT amat susah. Sebenarnya impian saya adalah mahu kekal di JDT sampai bila-bila dan saya tahu bukan senang untuk saya kekal di JDT. Jadi saya perlu bekerja keras,” katanya. – UTUSAN










