Ada sebab badminton hantar skuad elit ke Sukan SEA

Ada sebab badminton hantar skuad elit ke Sukan SEA

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Thailand 2025, Nurul Huda Abdullah bergambar bersama barisan atlet Taekwondo yang akan membawa cabaran negara di Sukan SEA 2025.- UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh menegaskan keputusan menghantar barisan pemain elit ke Sukan SEA Thailand 2025 dibuat atas dasar maruah negara dan bukan semata-mata memburu pingat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan panjang bersama semua jurulatih yang berpandangan edisi kali ini merupakan masa paling sesuai untuk menurunkan skuad terkuat negara.

“Sukan SEA ini bukan kejohanan biasa, ia membawa maruah negara dan demi Malaysia, sebab itu kami rasa masa ini sesuai untuk menghantar pasukan paling kuat.

“Kebetulan tahun ini tiada kejohanan besar, jadi inilah peluang terbaik untuk kita mendapat keputusan yang baik buat negara,” kata Kenny ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, kelmarin.

Kenny turut mengakui pihaknya sedar akan pandangan berbeza dalam kalangan peminat yang mahu Sukan SEA dijadikan medan pendedahan buat pemain muda.

“Saya faham memang ada yang setuju dan ada yang tidak, tapi akhirnya keputusan mesti dibuat dan tanggungjawab itu terletak pada pihak kami.

“Keputusan ini dibuat selepas pertimbangan panjang, dan jurulatih berpendapat menghantar barisan elit adalah langkah terbaik buat ketika ini,” ujarnya.

Kenny turut memaklumkan semua pemain utama termasuk juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, bekas juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, serta naib juara dunia beregu wanita di Paris, Pearly Tan-M Thinaah telah bersetuju untuk beraksi di temasya dwitahunan itu.

“Mereka sendiri sudah bersedia dan dalam perbincangan yang kami lakukan, mereka menunjukkan komitmen tinggi untuk menyertai Sukan SEA,” katanya.

Bagaimanapun, Kenny mendedahkan BAM akan mengumumkan sasaran rasmi pingat selepas mesyuarat akhir yang dijangka berlangsung hari ini menjelang temasya yang dijadualkan berlangsung di Bangkok dari 9 hingga 20 Disember depan.

Untuk rekod, pada edisi lalu di Kemboja, skuad badminton negara yang dibarisi pemain pelapis gagal memenangi sebarang pingat emas apabila sekadar membawa pulang dua perak dan empat gangsa, selain skuad wanita dimalukan Filipina di peringkat suku akhir acara berpasukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×