PETALING JAYA: “Menang atau kalah nombor dua, yang penting sekarang dia semakin matang dan konsisten.”
Itu keyakinan disuarakan jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran, menjelang aksi getir anak didiknya, Leong Jun Hao, menentang bintang China, Li Shi Feng, pada aksi pusingan pertama Terbuka Denmark di Odense, hari ini.
Biarpun rekod pertemuan memihak kepada Shi Feng dengan tujuh kemenangan daripada lapan pertemuan, Yogendran percaya anak buahnya kini berada dalam keadaan terbaik untuk memberikan tentangan lebih ampuh kali ini.
“Ini perlawanan pusingan pertama dan Jun Hao biasanya sangat segar di awal kejohanan. Saya nampak dia semakin tenang dan tahu bagaimana kawal tekanan.
“Latihan minggu ini (minggu lalu) antara yang terbaik selepas saya pulang dari Abu Dhabi. Kualiti dia meningkat dan itu beri keyakinan untuk aksi di Denmark,” kata Yogendran.
Jun Hao yang kini menghuni ranking ke-21 dunia, bakal turun dengan misi memperbaiki rekod pertemuan menentang juara All England 2023 itu, selepas kemenangan terakhirnya hadir pada Terbuka India, Januari lalu.
Menurut Yogendran, perubahan paling ketara dalam diri pemain berusia 26 tahun itu ialah cara dia menangani tekanan selepas memegang status pemain perseorangan lelaki No.1 Malaysia, susulan ketiadaan Lee Zii Jia yang bergelut dengan kecederaan hampir setengah musim.
“Dulu masa dia baru jadi No.1, memang nampak tekanan tinggi. Cepat marah, banyak fikir pasal expectation orang. Tapi sekarang dia sudah lebih matang dan tahu apa dia nak capai,” jelasnya.
Jurulatih itu menambah, matlamat utama Jun Hao kini ialah menembusi kelompok 16 terbaik dunia, dengan baki beberapa kejohanan musim ini dianggap penting untuk menambah mata ranking dan pengalaman.
Selepas tiga siri kejohanan di Hong Kong, China Masters dan Terbuka Korea yang memperlihatkan peningkatan konsistensi permainan, Yogendran menyifatkan anak buahnya kini dalam fasa terbaik sejak awal musim.
“Sebab untuk dia sekarang, apa dia mahu dan sasaran beliau adalah menghunu 16 terbaik dunia. Sekarang dia sudah menembusi 20 terbaik. Baki kejohanan yang tinggal sekarang adalah penting untuk Jun Hao.
“Sebab itu saya kata dia sudah matang. Kita dapat lihat dia main bagus dalam acara berpasukan tetapi sekarang dalam individu dia sudah main dengan konsisten. Bukan menang dan kalah sahaja tetapi tahap dia sekarang sudah konsisten,” katanya. – UTUSAN











