IPOH: Tiga nyawa terkorban daripada empat kejadian lemas yang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam tempoh empat hari sejak 8 November lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yusri Mohd Yusof @ Hashim berkata, tiga mangsa yang maut terdiri daripada seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 20 dan 36 tahun serta kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.
Katanya, seorang lagi mangsa iaitu lelaki warga Myanmar masih belum ditemukan selepas dilaporkan hilang dalam kejadian di Jalan Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor pada 9 November lalu.
“Kejadian tiga individu maut dan seorang yang dilaporkan hilang ini berlaku di empat lokasi berasingan.
“Lokasi pertama di Air Terjun Taman Suria, Taiping pada 8 November diikuti Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor pada 9 November melibatkan mangsa yang dikhuatiri lemas.
“Dua lagi insiden dilaporkan di Sungai Jahang, Gopeng pada 10 November dan Sungai Jalong pada 11 November,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Yusri menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengelakkan aktiviti mandi-manda di sungai dan air terjun terutama ketika musim hujan dan Monsun Timur Laut (MTL) yang boleh menyebabkan paras air meningkat serta arus menjadi deras.
Katanya, orang ramai juga perlu sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak ketika berada berhampiran kawasan berair bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Pengunjung yang melakukan aktiviti rekreasi air juga dinasihatkan memakai jaket keselamatan dan tidak mengambil mudah aspek keselamatan walaupun berada di kawasan yang biasa dikunjungi.
“Jika berlaku kecemasan, orang ramai perlu segera menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Semalam, empat sekeluarga dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama ahli keluarga lain di Sungai Jalong Tinggi, Kampung Landap Kerbau, Sungai Siput.
Dalam kejadian sekitar pukul 5.41 petang itu, bapa berusia 27 tahun dan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun berjaya diselamatkan orang awam manakala ibu berusia 37 tahun dihanyutkan arus. – UTUSAN











