KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah, Datin Wendy Wong menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa isu poster filem terbaharunya berjudul Takdir Terakhir: Last Dive yang mendapat kritikan sebelum ini merupakan merupakan gimik pemasaran.
Menurut Wendy, poster yang menjadi bualan sebelum ini merupakan hasil sentuhan pelajar dari sebuah institusi pendidikan, selain menegaskan dirinya cakna akan standard bahan pemasaran yang berkualiti.
“Pada awalnya, saya tidak tahu pun isu itu viral. Poster yang ditayangkan di media sosial adalah hasil rekaan pelajar selepas kami anjurkan pertandingan. Poster itu dipilih sebagai teaser.
“Kalau fikir secara logik, selama 28 tahun dalam industri, tidak mungkin saya tidak tahu buat poster. Mestilah ada sebab poster tersebut dimuat naik. Saya bukan buat gimik. Tidak bagus untuk filem,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wendy mengulas perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran poster dan trailer filem berkenaan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.
Terbuka menerima komen, Wendy bagaimanapun berharap agar orang ramai tidak menilai kualiti sesebuah naskhah sebelum menonton filem tersebut.
“Saya tidak marah orang mahu kritik sebab apa yang mereka kata itu betul. Poster itu memang tidak bagus. Tetapi mereka tidak faham poster itu hasil rekaan pelajar.
“Dalam masa sama sedih juga sebab ramai yang kritik sebelum tonton filem ini. Namun saya maafkan. Kalau saya tidak faham situasi sebenar mungkin akan cakap perkara sama.
“Poster terbaru adalah rekaan produksi sendiri dan dihasilkan dengan betul. Bukannya guna AI (teknologi kecerdasan buatan),” jelasnya.
Sebelum ini, poster filem tersebut mendapat kritikan hebat kerana dianggap tidak berkualiti dan kurang menepati standard sebuah filem untuk tayangan pawagam.
Filem Takdir Terakhir: Last Dive yang menampilkan barisan pelakon seperti Shiqin Kamal, Aniq Durar, Amerul Affendu, Fify Azmi serta Sandra Lim itu bakal ditayangkan di pawagam pada 3 Disember.











