Penantian 623 hari Faisal Halim berakhir

Penantian 623 hari Faisal Halim berakhir

Faisal Halim kembali menjalani latihan selepas pulang dari Vientiane menentang Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027, Khamis lalu. - IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang sensasi negara, Faisal Halim nyata gembira apabila kembali menemui sentuhan gol di pentas antarabangsa, sekali gus menamatkan kemarau gol selama 623 hari.

Menerusi satu perkongsian di laman sosialnya, pemain sayap skuad Harimau Malaya dan Selangor FC itu mengakui bersyukur selepas meledak satu gol ketika membantu skuad negara mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane, Khamis lalu.

Dalam aksi itu, anak buah Peter Cklamovski berjaya menewaskan Laos 3-0 dengan dua gol lagi disumbang oleh Arif Aiman Hanapi dan Dion Cools.

“Alhamdulillah selepas 623 hari,” katanya ringkas dalam satu hantaran di Facebook.

Kali terakhir Faisal menjaringkan gol bersama skuad negara adalah ketika perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub di Qatar pada 25 Januari 2024 lalu, dengan menyaksikan Harimau Malaya mengikat gergasi Asia itu 3-3.

Jaringan itu, turut mengangkat nama Faisal sebagai penjaring gol terbaik kejohanan selepas menerima undian tertinggi daripada peminat dalam undian rasmi yang diadakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu.

Ketika prestasinya berada di tahap terbaik, insiden hitam menimpa pemain kelahiran Pulau Pinang itu susulan menjadi mangsa serangan asid pada Mei 2024 yang menyaksikan dia terpaksa menjalani proses rawatan yang panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×