WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penambahan 15 syarikat China ke dalam senarai sekatan perdagangan selepas didapati membantu pembelian komponen elektronik buatan AS yang digunakan dalam dron ketenteraan milik proksi Iran, termasuk kumpulan Houthi di Yemen dan Hamas di Gaza.
Menurut notis rasmi yang disiarkan dalam Federal Register, 10 syarikat China dikenal pasti terlibat dalam pembelian komponen untuk sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) bersenjata yang digunakan oleh kumpulan proksi Iran.
Lima lagi syarikat ditambah selepas siasatan mendapati, sekitar 7 Oktober 2023, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menemui serpihan dron yang digunakan oleh kumpulan berkenaan termasuk Hamas yang mengandungi komponen elektronik asal AS.
Serangan Hamas terhadap Israel pada tarikh tersebut mengorbankan kira-kira 1,200 orang, sekali gus mencetuskan perang yang berlarutan di Gaza hingga kini.
Secara keseluruhannya, Biro Industri dan Keselamatan (BIS) di bawah Jabatan Perdagangan AS menambah 29 entiti baharu ke dalam senarai sekatan, termasuk beberapa syarikat berpangkalan di Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Antara syarikat tersenarai ialah Arrow China Electronics Trading yang berpangkalan di Shanghai dan beberapa bandar utama China, serta Arrow Electronics.
Kedua-duanya merupakan anak syarikat kepada Arrow Electronics, pengedar komponen elektronik berpangkalan di Colorado, AS, yang merekodkan jualan global berjumlah AS$28 bilion (RM 118 juta) pada tahun 2024.
Dalam satu kenyataan, syarikat induk berkenaan menegaskan semua operasinya mematuhi undang-undang dan peraturan eksport antarabangsa.
“Kami sedang berbincang dengan pihak BIS berhubung senarai baharu ini dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut sebaik maklumat tersedia,” kata jurucakap syarikat itu, John Hourigan, sambil menambah pihaknya berusaha meminimumkan gangguan rantaian bekalan kepada rakan kongsi.
Selain itu, satu lagi syarikat China turut dimasukkan ke dalam senarai kerana disyaki menjadi sebahagian daripada rangkaian haram yang membekalkan komponen UAV dan peralatan lain kepada syarikat hadapan Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC-QF).
Syarikat yang dimasukkan ke dalam senarai sekatan Jabatan Perdagangan AS dianggap terlibat dalam aktiviti yang mengancam keselamatan negara dan kepentingan dasar luar Washington.
Setiap urus niaga eksport ke syarikat dalam senarai itu kini memerlukan lesen khas daripada kerajaan AS yang dalam kebanyakan kes dijangka tidak akan diluluskan. -AFP











