Adilkah 65 peratus kerusi Parlimen untuk pengundi Semenanjung?

Adilkah 65 peratus kerusi Parlimen untuk pengundi Semenanjung?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHAGIAN 2

BERTENTANGAN pendapat dengan tuntutan 35 peratus kerusi Dewan Rakyat, sesetengah aktivis nasionalis Borneo menyifatkan pandangan berbeza dari Semenanjung sebagai ‘mentaliti penjajah’.

Namun, tuduhan itu tidak wajar. Jika 83 peratus pengundi berdaftar berada di Semenanjung dan perwakilan mereka di Parlimen bakal berkurang daripada 75 peratus kepada 65 peratus, maka munasabah bagi rakyat Semenanjung untuk menyuarakan pandangan mereka tentang isu perwakilan nasional.

Menurut angka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat Mei 2024, secara puratanya 108,231 pengundi di Semenanjung diwakili seorang ahli Parlimen, berbanding dengan hanya 64,204 pengundi di Sarawak, Sabah (69,352) dan hanya Malaysia Timur termasuk Labuan (66,152). (Lihat graf)

Perbezaan antara 108,231 dan 66,152 bermakna satu undi di Malaysia Timur bernilai 1.63 kali ganda satu undi di Semenanjung. Ini kerana peratusan kerusi untuk Sabah dan Sarawak dikekalkan pada lebih kurang 25 peratus selepas Ogos 1970 sungguhpun peratusan pengundinya sekarang hanya 17 peratus.

Fenomena ini menatijahkan ‘perwakilan berlebih’ untuk Malaysia Timur dan ‘perwakilan berkurang’ untuk Semenanjung Malaysia. 

Tuntutan 35 peratus kerusi akan mempertingkatkan ketidakseimbangan ini iaitu 83 peratus pengundi Semenanjung hanya mendapat 65 peratus perwakilan Parlimen, hinggakan satu undi di Malaysia Timur seberat 2.55 kali satu undi di Semenanjung.

Secara teorinya sebuah kerajaan majoriti mudah 51 peratus boleh dibentuk dengan semua ahli parlimen Malaysia Timur (35 peratus) dengan 16 peratus lagi ahli parlimen dari Semenanjung. 

Mampukah kerajaan 35 peratus+16 peratus sebegini stabil? Tidakkah ketidakseimbangan yang tidak mewakili aspirasi majoriti nasional sebegini berisiko menggugat kemampanan dan keutuhan wilayah Malaysia untuk jangka panjang?

Dalam kata lain, tuntutan  ini melanggar prinsip demokrasi yang menekankan ‘kesamarataan warganegara’ dan dioperasikan dalam pilihanraya sebagai ‘satu orang, satu undi, satu nilai’ (OPOVOV), selain tiada asas dan akar sejarah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah saya kupas dalam rencana semalam. 

Berkenaan interpretasi MA63 pula, Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Jabatan-Jabatan Peguam Besar Sabah dan Sarawak perlu mengemukakan pendirian rasmi masing-masing untuk diteliti semua rakyat sebelum sebarang agihan semula kerusi Dewan Rakyat berlaku.

Berani kerana betul, takut kerana salah. Perkara besar yang mengesani kuasa rakyat dan nasib watan tidak boleh ditentukan secara terselindung dan kemudian dipaksaluluskan (bulldoze) di Parlimen. 

Secara terus terang, kerajaan Persekutuan tidak bertindak secara bertanggungjawab apabila negeri-negeri Semenanjung dikecualikan dalam rundingan pembahagian kerusi Dewan Rakyat. Kerajaan-kerajaan negeri Semenanjung, tidak kira siapa yang memerintah, barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional  (PN) atau Pakatan Harapan (PH)  tidak wajar membisu.

Jika di United Kingdom (UK), England tiada satu atau beberapa kerajaan wilayahnya sendiri, maka kepentingan England diwakili oleh kerajaan kebangsaan dalam rundingan dengan Scotland, Wales dan Ireland Utara.

Malaysia bukan UK. Kerajaan Persekutuan tidak boleh mewakili negeri-negeri Semenanjung kerana Persekutuan Tanah Melayu dibubarkan dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Negeri-negeri Semenanjung mempunyai kerajaan tersendiri, malah sembilan negeri mempunyai raja-raja Melayu.

Kerajaan Persekutuan pula bersifat ‘supra’ (berada di atas dan terpisah daripada semua) negeri dan hanya mewakili kepentingan tempatan untuk Wilayah Persekutuan (selepas 1974).

Masalah perwakilan tidak seimbang Dewan Rakyat sebenarnya tetap menghantui negeri-negeri Semenanjung sekalipun status quo 25 peratus perwakilan Borneo diterima semua pihak. Contohnya secara purata, seorang ahli Parlimen di Selangor mewakili 174,225 pengundi, namun hanya 82,764 pengundi di Pahang.

Ketidakseimbangan ini hanya akan hanya semakin melebar dengan pertumbuhan penduduk di Selangor dan penghijrahan dari Pahang ke Selangor. 

Negeri-negeri Semenanjung lain yang rugi teruk akibat ‘perwakilan berkurang’ ialah Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan sementara yang untung termasuklah Perlis, Perak dan Pulau Pinang. 

Pertambahan kerusi bukanlah penyelesaian. Malah penambahan kerusi berat sebelah pada 2003 adalah antara punca perwakilan berlebih untuk Pahang.

Perkara 46 dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk memansuhkan kuasa Parlimen untuk sewenang-wenangnya menentukan pengagihan kerusi. Perkara 116(3) yang dimansuhkan pada 1962 perlu dihidupkan semula untuk mengagihkan kerusi Dewan Rakyat mengikut peratusan pengundi, sekurang-kurangnya antara negeri-negeri Semenanjung.

Berbalik kepada tuntutan 35 peratus Malaysia Timur, kita harus mempertimbangkan dua motivasi absah Sabah dan Sarawak di belakang tuntutan ini dan mencari penyelesaian ‘menang-menang’.

Motivasi pertama, kuasa veto agar peruntukan perlembagaan yang melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak tidak boleh dimansuhkan secara unilateral oleh ahli-ahli Parlimen Semenanjung. 

Motivasi kedua, pengagihan sumber yang lebih banyak yang ingin dicapai dengan penambahan ahli Parlimen dan juga menteri daripada Borneo. 

Kuasa veto untuk melindungi negeri-negeri kecil atau istimewa adalah absah dalam amalan antarabangsa terutamanya untuk negara persekutuan. Akan tetapi, kuasa ini tidak boleh diletakkan di Dewan Rakyat yang menentukan pembentukan kerajaan, sebaliknya harus diletak di Dewan Negara yang berkuasa sama seperti Dewan Rakyat dalam meminda perlembagaan.

Jika Sabah dan Sarawak masing-masing mendapat 15 senator baharu, Malaysia Timur termasuk Labuan akan mempunyai 35 kerusi dalam Dewan Negara daripada jumlah baharunya 100, iaitu tepat-tepat 35 peratus. Malah, kuasa veto tambahan terhadap pindaan peruntukan khas boleh diberikan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak memang memerlukan lebih banyak sumber tetapi cara paling baik ialah memperuntukkan lebih autonomi serta pengekalan sebahagian hasil cukai untuk kerajaan negeri, bukan dana di bawah menteri atau ahli Parlimen.

Ini harus dimaktubkan dalam Jadual ke-9 dan Bahagian VII (Kewangan) Perlembagaan Persekutuan dan bukan sekadar persetujuan antara-kerajaan seperti yang berlaku dalam desentralisasi pendidikan bagi Sarawak. Maka, pengekalan perwakilan 75 peratus untuk Semenanjung boleh dikaitkan dengan pindaan Jadual ke-9 dan Bahagian VII sebagai urus janji pakej.

Kerajaan Persekutuan sememangnya perlu melibatkan negeri-negeri Semenanjung dalam rundingan MA63. 

Pertama, hanya dengan sokongan kerajaan-kerajaan negeri, parti pemerintah Persekutuan tidak perlu bimbang dihukum oleh pengundi Semenanjung nanti dalam pilihan raya kerana konsesi kepada Borneo. 

Kedua, pemancaran kuasa atau desentralisasi memang tidak dapat dielakkan, malah turut wajar dituntut negeri-negeri Semenanjung. Penglibatan semua negeri Borneo dan Semenanjung membolehkan desentralisasi yang bertanggungjawab, mampan dan melampaui melangkaui MA63 apabila perlu.

 

Dipohon maaf disusun sepuluh jari

Bila menyapa ucaplah assalamualaikum

Pancarkan kuasa kuatkan negeri

Rundingan biarlah telus dan terangkum.-UTUSAN

 

PROFESOR Wong Chin Huat ialah ahli saintis politik,  Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN) di Universiti Sunway dan ahli Projek Stabiliti dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×