KANGAR: Srikandi Keadilan menyambut baik pengumuman cuti tambahan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada sekolah seluruh negara bersempena sambutan Deepavali.
Ketua Srikandi Keadilan Perlis, Lagini Pala berkata, langkah tersebut mencerminkan keprihatinan KPM terhadap kesejahteraan warga pendidik dan pelajar yang telah berusaha gigih sepanjang tahun.
Katanya, inisiatif tersebut juga memberi ruang kepada semua untuk meraikan perayaan bersama keluarga serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan keharmonian komuniti setempat.
“Srikandi Keadilan melihat pengumuman ini sebagai usaha selaras dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan nilai kasih sayang, keharmonian dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama.
“Srikandi Keadilan turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas kepimpinan beliau yang sentiasa berasaskan prinsip empati, kesejahteraan dan kepentingan rakyat,” katanya di sini hari ini.
Warga sekolah seluruh negara bakal menikmati cuti panjang sempena sambutan Deepavali tahun ini berikutan pengumuman cuti tambahan yang dibuat KPM.
Deepavali akan disambut pada Isnin, 20 Oktober.
Pengumuman yang dibuat KPM itu sekali gus memberi peluang kepada warga sekolah menikmati lima hari cuti berturut-turut bermula Sabtu hingga Rabu.-UTUSAN










