RAMALLAH: Israel pada Ahad meluluskan pelan penempatan baharu bagi merampas 3.6 haktar tanah daripada kampung Palestin Kafr Qaddum, terletak di timur Qalqilya di utara Tebing Barat, lapor agensi berita Anadolu.
Menurut Munif Nazzal daripada Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok Palestin, pelan tersebut bertujuan untuk membina 58 unit penempatan baharu di kawasan Mitzpe Yeshai, yang dibina di atas tanah milik penduduk kampung tersebut.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah menyalahi undang-undang antarabangsa dan menjejaskan kemungkinan pelaksanaan penyelesaian dua negara.
Awal September lalu, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, turut mengumumkan rancangan untuk menggabungkan 82 peratus wilayah Tebing Barat yang diduduki, satu langkah yang dianggap bakal menamatkan sepenuhnya peluang merealisasikan pelan dua negara seperti yang disokong oleh resolusi PBB.
Sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023, pasukan Israel dan peneroka haram telah melancarkan lebih 38,000 serangan di seluruh Tebing Barat, menyebabkan 33 komuniti Badwi dipaksa berpindah serta 114 pos penempatan haram baharu dibina.
Laporan suruhanjaya itu turut menyebut 767 kebakaran disengajakan terhadap rumah dan tanah milik Palestin, manakala lebih 1,000 tindakan perobohan telah memusnahkan hampir 3,700 struktur, termasuk rumah dan kemudahan pertanian.
Selain itu, lebih 900 sekatan jalan kekal dan sementara dikenakan di seluruh Tebing Barat, menyukarkan pergerakan rakyat Palestin.
Menurut data rasmi pihak Palestin, sekitar 1,048 penduduk telah terbunuh dan lebih 10,300 cedera sejak Oktober 2023.
Israel terus menduduki wilayah Palestin serta kawasan di Syria dan Lubnan selama beberapa dekad, dan masih menolak penarikan balik tentera serta penubuhan negara Palestin merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota, berdasarkan sempadan pra-1967. -AGENSI










