BULAN Akademia dilancarkan dengan rasminya pada Oktober 2019, setelah Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mengiktiraf 5 Oktober sebagai Hari Akademia dan bulan Oktober sebagai Bulan Akademia setiap tahun.
Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang memperkenalkan hari khusus untuk komuniti akademia.
Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) sudah tentu gembira dengan pengiktirafan itu kerana telah memperjuangkan Hari Akademia sejak penubuhannya. Melalui pengiktirafan Hari Akademia ini, ahli akademik universiti dapat diraikan di seluruh Malaysia dan boleh memanfaatkan sepanjang Oktober dengan aktiviti yang menarik sesuai dengan budaya akademik di universiti masing-masing.
Sambutan ini sebagai wadah memperkukuh martabat akademia dan menyatukan suara pensyarah dalam ekosistem pendidikan tinggi.
Tujuan utama pengiktirafan Bulan Akademia oleh KPT adalah untuk menghargai jasa dan sumbangan tenaga akademik di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), termasuk universiti awam dan swasta, politeknik, serta kolej komuniti. Ahli akademik merupakan kumpulan yang penting dalam melahirkan sumber manusia kumpulan profesional dan separuh profesional negara dan berperanan dalam pembangunan modal insan dan kemajuan negara.
Sebagai sebuah negara yang sedang membangun dengan pesat, dengan teknologi yang canggih, sumbangan ahli akademik sangat diperlukan.
Sambutan Bulan Akademia boleh diisi dengan pelbagai aktiviti seperti mengiktiraf sumbangan tenaga akademik dalam pendidikan tinggi, meningkatkan prestij profesion ahli akademik, meraikan pencapaian dalam penerbitan, inovasi dan rekacipta, serta impak besar kepada polisi kerajaan dan masyarakat hasil daripada penyelidikan dan pengajaran. Pihak KPT juga boleh menyambut seruan menteri untuk menyambut Hari Akademia dengan gilang gemilang.
Antara yang boleh ditengahkan ialah dengan mempamerkan penemuan dan reka cipta penting yang boleh menarik perhatian pihak industri dan boleh dikomersialkan.
Selain dari itu budaya akademik seperti konferens, seminar dan forum boleh juga diadakan bagi menonjolkan kepakaran ahli akademik dan sumbangan ilmiah universiti tempatan. Pihak KPT bolehlah menyediakan dana khas untuk bidang-bidang yang ingin ditengahkan oleh kerajaan.
Pihak MAAC sentiasa memainkan peranan penting dalam menyemarakkan sambutan Bulan Akademia Malaysia, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan dan pengiktirafan ahli akademik universiti awam.
Semua persatuan akademik di setiap universiti awam khasnya digalakkan menganjurkan Bulan Akademia dengan pengisian aktiviti yang menunjukkan kesarjanaan dan menarik perhatian berkaitan kebajikan pensyarah.
Semua persatuan akademik universiti boleh mengambil peluang untuk menyuarakan hal-hal berkaitan kebajikan ahli akademik sepanjang kerjaya dan selepas bersara, termasuk aspek profesionalisme dan kepimpinan.
Sejak penubuhan MAAC, perkara berkaitan kepimpinan universiti, beban kerja pensyarah sepanjang kerjaya, kriteria kenaikan pangkat dan memartabatkan pensyarah mengikut kepakaran dibincangkan. Peningkatan kecemerlangan pensyarah melalui pelbagai cara sepanjang kerjaya menjadikan mereka lebih berkualiti dan berpengaruh dalam bidang kepakaran serta mempunyai jaringan yang baik dengan pelbagai agensi di dalam dan luar negara.
Universiti perlu memperkasakan pentadbiran dan autonomi dalam menentukan hala tuju universiti untuk kecemerlangan, pengantarabangsaan, ekosistem penyelidikan dan inovasi, infrastruktur digital dan hijau, kestabilan kewangan dan meletakkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi serantau.
Pemimpin universiti perlu berubah, bukan lagi sekadar pentadbiran institusi tetapi perlu menjadi arkitek perubahan, pemacu inovasi dan penghubung antara akademia, industri, komuniti dan dasar negara.
Pemimpin universiti mesti mempunyai keupayaan mendengar, beradaptasi dan berinovasi serta bertanggungjawab.
Aktiviti pensyarah melalui pengajaran, penyelidikan, penerbitan, seminar dan konferens serta jaringan masyarakat dapat membantu kerajaan secara langsung dalam transformasi pendidikan tinggi negara.
Banyak isu ditimbulkan dalam musim menyambut kemerdekaan negara termasuk pencapaian bidang pendidikan negara.
Setelah 68 tahun merdeka, pendidikan dalam kalangan Orang Asli misalnya, masih ketinggalan, dan masih ramai yang tidak boleh membaca, menulis dan mengira.
Begitu juga dengan isu-isu berkaitan keterjaminan makanan, alam sekitar dan alam semula jadi, kemiskinan serta perpaduan.
Penyelidikan di universiti boleh membantu kerajaan berkaitan isu yang dibincangkan umum. Dalam merancang transformasi pendidikan tinggi, kerajaan bolehlah mengenal pasti isu negara yang dilakukan bersama dengan aktiviti di universiti.
KEBEBASAN
Rancangan Malaysia adalah satu rujukan penting dalam melakar transformasi pendidikan tinggi negara.
Kebebasan akademik pensyarah juga selalu dibincangkan semasa sambutan Hari Akademia. Kebebasan akademik di universiti awam merujuk kepada hak dan ruang para ahli akademik untuk berfikir, menyuarakan pandangan, menjalankan penyelidikan serta mengajar berdasarkan penyelidikan atau kepakaran.
Hak ini perlu dilakukan tanpa tekanan politik, pentadbiran atau ideologi luar yang menjejaskan integriti ilmu.
Ahli akademik dibenarkan menyuarakan pandangan, selagi ia dibuat secara bertanggungjawab dan tidak menjejaskan dasar institusi secara tidak beretika.
Pensyarah juga mempunyai autonomi dalam penyelidikan dan pengajaran. Pensyarah berhak memilih pendekatan pedagogi dan topik penyelidikan yang relevan, tanpa campur tangan luar yang tidak berasas.
Kebebasan pensyarah bersuara akan menggalakkan percambahan ilmu yang positif dan menggalakkan mereka lebih proaktif dalam memberikan pandangan berkaitan kepakaran mereka.
Sempena Bulan Akademia ini, warga akademik bolehlah menyertai persatuan dan memahami hak seorang ahli akademik mengikut peraturan atau undang-undang sedia ada seperti digariskan dalam Akta 605, Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain peraturan yang berkaitan.-UTUSAN
Kecemerlangan dan integriti akademik mesti dihayati oleh semua ahli akademik.
Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










