PETALING JAYA: Malaysia akan meminta campur tangan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) bagi membebaskan semua aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang diculik oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tujuan itu, beliau meminta Kementerian Luar untuk menghubungi Setiausaha Negara AS, Marco Rubio untuk memberi jaminan pembebasan semua tahanan itu.
“Selepas kapal GSF diserang, saya terus menghubungi Emir Qatar, Sheikh Tamim, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan bersama Menteri Luar untuk menghubungi beberapa rakan lain termasuk Setiausaha Negara AS.
“Ia bertujuan meminta campur tangan mereka dan memastikan semua yang ditahan oleh rejim Israel dibebaskan,” katanya semasa taklimat harian yang disiarkan secara langsung dalam media sosial rasmi, di sini hari ini.
Anwar turut berharap agar segala bentuk kezaliman oleh rejim Israel dapat dihentikan segera bagi membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan di Gaza. – UTUSAN










