ROM: Menteri Luar Itali, Antonio Tajani memaklumkan Israel memberi jaminan pasukan bersenjata negara itu tidak akan menggunakan kekerasan terhadap para aktivis yang berada di atas kapal flotila bantuan yang belayar menuju ke Gaza.
Dalam satu temu bual bersama penyiar televisyen Itali, Rai, Tajani berkata, tindakan menaiki kapal memang dirancang dan kami berbincang dengan Menteri [Gideon] Sa’ar bagi memastikan tiada tindakan ganas dilakukan oleh pasukan bersenjata Tel Aviv, dan perkara itu sudah dijamin.
Beliau turut memaklumkan kerajaan Itali mengarahkan kedutaannya di Tel Aviv serta konsulat di Baitulmuqaddis memberikan bantuan konsular kepada warganegara Itali yang dijangka dibawa ke pelabuhan Ashdod sebelum dihantar pulang.
“Kami mengarahkan kedutaan di Tel Aviv dan konsulat di Baitulmuqaddis untuk membantu semua rakyat Itali yang mungkin dibawa ke Ashdod, sebelum mereka diusir keluar,” katanya.
Kenyataan ini hadir di tengah-tengah ketegangan antarabangsa susulan tindakan Israel memintas flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza yang disertai aktivis dari lebih 40 negara, termasuk Malaysia dan Itali.
Flotila tersebut bertujuan menyerahkan bantuan perubatan dan makanan kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat sekatan berterusan oleh rejim Israel.










