KEMAMAN: Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli terus mempamerkan kayuhan mantap apabila muncul pelumba terpantas di garisan penamat peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman sejauh 141.5 kilometer, semalam.
Pelumba XDS Astana berusia 31 tahun itu melakukan henjutan bertenaga dalam baki 100 meter terakhir untuk mengetepikan cabaran lawan, sekali gus meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menjuarai peringkat ketiga kelmarin.
“Saya menang dengan bantuan pasukan yang bekerja keras hari ini. Semalam saya banyak lakukan sendiri, tetapi kali ini ‘lead out’ berjalan sempurna.
“Esok(hari ini) saya akan cuba simpan tenaga kerana peringkat pendakian menanti. Masih ada tiga peringkat rata lagi, jadi peluang untuk menang tetap terbuka,” katanya selepas perlumbaan.
Lebih manis, kemenangan ini juga merupakan kali keenam buat pelumba berasal dari Itali itu menaiki podium teratas LTdL sejak tahun lalu.
Malucelli menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3 jam 17 minit 56 saat (s), mendahului Manuel Penalver (Team Polti VisitMalta) di tempat kedua dan Erlend Blikra (Uno X Mobility) di tangga ketiga.
Bukan sekadar mengekalkan rekod sempurna, Malucelli juga masih menggenggam jersi hijau (pelumba terbaik keseluruhan) dengan catatan masa terkumpul 13:15.45s, meninggalkan Blikra (+0:22s) dan rakan sepasukan, Aaron Gate (+0:26s).
Beliau turut mengekalkan jersi Oren selaku Raja Pecut dengan 57 mata, diikuti Blikra (33) dan Penalver (28).
Sementara itu, Patrick Eddy (Team Picnic PostNL) kekal selaku Raja Bukit selepas mengumpul 15 mata, manakala jersi putih pelumba terbaik Asia terus menjadi milik pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Vadim Pronskiy.
Hari ini, saingan dijangka lebih mencabar dengan peringkat kelima sejauh 123.1km dari Temerloh ke Bukit Fraser, melibatkan tiga zon pecutan di Mentakab, Bukit Damar dan Mempaga serta dua zon pendakian utama di Raub dan Bukit Fraser. – UTUSAN










