Israel lakukan provokasi terhadap Sumud Flotilla

Israel lakukan provokasi terhadap Sumud Flotilla

TANGKAP layar akaun X.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Israel mula melakukan provokasi agresif terhadap beberapa kapal peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di zon merah iaitu sekitar 145 batu nautika dari pesisir pantai Gaza.

Seorang peserta GSF, Thiago Avila dari Brazil menerusi laman Instagram miliknya memaklumkan bahawa kapal tentera laut Israel menghampiri kapal dinaikinya dan melakukan intimidasi.

Katanya, mereka melakukan ugutan, merosakkan sistem komunikasi dan melakukan pergerakan berbahaya dengan mengelilingi kapal dinaikinya serta dua kapal lain iaitu Alma dan Sirius.

“Walaupun berlaku kerosakan pada peralatan elektronik, tiada sesiapa yang tercedera dan kami akan terus berlayar ke Gaza untuk memecahkan kepungan dan membuka laluan kemanusiaan,” katanya hari ini.

TANGKAP layar media sosial.

Hantaran itu turut dikongsikan pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan atau Pencetus Ummah (PU) Rahmat yang kini turut menyertai misi kemanusiaan GSF.

Terdahulu, GSF dalam kemaskini di Telegram miliknya memaklumkan bahawa beberapa kapal tidak dikenali dikesan menghampiri beberapa kapal peserta GSF selepas pelayaran mereka semakin hampir ke destinasi utama iaitu Gaza.

Katanya, beberapa buah bot dikesan mendekati kapal-kapal flotilla tanpa membuka lampu masing-masing sebelum meninggalkan kawasan tersebut.

Susulan perkembangan itu, semua peserta GSF melaksanakan protokol keselamatan sebagai persiapan untuk disekat oleh tentera Israel.

“Kami meneruskan pelayaran menuju ke Gaza mendekati 120 batu nautika daripada sasaran iaitu kawasan berhampiran flotilla terdahulu yang pernah ditahan atau diserang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×