PETALING JAYA: Sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disifatkan sebagai penerima yang sah dan wajar bagi agihan dana zakat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, ketetapan itu bersandarkan kepada perluasan tafsiran asnaf fi sabilillah oleh ulama kontemporari serta sifat misi GSF yang penuh risiko, pengorbanan dan bertujuan mencapai maslahat tinggi umat Islam.
Katanya, penyaluran zakat kepada perbelanjaan operasi GSF bukan sahaja memenuhi kewajipan agama, malah memberi peluang umat Islam untuk turut serta secara langsung dalam perjuangan menentang kezaliman serta menyalakan harapan di tengah kegelapan genosid.
“Perjuangan flotila ini sebenarnya adalah seruan kepada setiap Muslim untuk memperkukuh jihad kemanusiaan dengan harta mereka.
“Ia juga secara tidak langsung memastikan suara keadilan mampu menembusi sekatan dan sampai ke pantai Gaza,” katanya menerusi Tinta Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.
Ahmad Fauwaz berkata, zakat kepada peserta GSF boleh diletakkan dalam konteks asnaf fi sabilillah.
Beliau berkata, pada asasnya, ulama terdahulu seperti dalam Mazhab Syafie dan Hambali menetapkan makna fi sabilillah sebagai golongan yang berjuang di jalan Allah secara sukarela tanpa menerima gaji.
“Mereka layak menerima zakat walaupun dalam kalangan orang kaya kerana penerimaan itu atas nama fi sabilillah, bukan atas sebab fakir miskin,” katanya.
Beliau berkata, misi GSF merupakan usaha menentang kezaliman rejim Zionis dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang berdepan sekatan haram hingga mencetuskan krisis kebuluran.
“GSF adalah usaha kolektif berisiko tinggi untuk menegakkan keadilan antarabangsa dan memelihara nyawa umat yang merupakan antara maqasid syariah paling utama.
“Tambahan pula, peserta flotila turut berdepan ancaman langsung musuh termasuk serangan dron,” katanya.
Seramai 34 rakyat Malaysia adalah sebahagian daripada lebih 500 sukarelawan dari 45 negara yang menyertai misi kemanusiaan itu.
Mereka belayar menaiki hampir 70 bot merentasi Laut Mediterranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan dengan satu matlamat bagi memecahkan kepungan terhadap Gaza. – UTUSAN










