PETALING JAYA: Kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan anggota tentera yang sentiasa menjadi benteng utama mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu, usaha terus dipergiat untuk mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur, termasuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan pembinaan jeti baharu di Pangkalan TLDM Sandakan, demi keselesaan serta kesejahteraan anggota dan keluarga.
“Dalam masa sama, kerajaan juga akan memastikan aset-aset pertahanan diperkukuh serta diperlengkap dengan teknologi terkini, supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal ampuh menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global.
“Saya menyeru semua pegawai dan anggota agar memperkukuh penguasaan teknologi baharu selain memperluas kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi warga ATM dan keluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, beliau menyantuni warga ATM di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan, Sabah.
Anwar turut menitipkan nasihat kepada Kementerian Pertahanan supaya memastikan setiap perbelanjaan dilakukan dengan penuh telus, berhemah dan bebas daripada ketirisan.
Katanya, kekuatan pertahanan negara bukan hanya terletak pada aset dan anggota, tetapi turut bergantung pada integriti pengurusan. – H











