PM Itali tertekan didesak iktiraf negara Palestin - Utusan Malaysia

PM Itali tertekan didesak iktiraf negara Palestin

Giorgia Meloni
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Ketika beberapa buah negara barat lain termasuk Britain, Kanada dan Perancis sudah mengiktiraf penubuhan negara Palestin, namun sehingga kini Itali masih belum mengiktiraf wilayah tersebut sehingga berdepan tekanan hebat dalam isu konflik Gaza apabila protes jalanan merebak di seluruh negara.

Perdana Menteri, Giorgia Meloni yang mengetuai kerajaan sayap kanan sebelum ini menegaskan masa belum sesuai untuk mengiktiraf Palestin, namun pendirian itu dikecam hebat oleh pembangkang yang menyifatkannya sebagai berada di pihak salah dalam sejarah.

Bagaimanapun, minggu ini Meloni memberi isyarat perubahan sikap apabila menyatakan beliau menyokong penubuhan negara Palestin dengan dua syarat iaitu pembebasan semua tebusan Israel yang ditahan kumpulan Hamas serta pengecualian kumpulan itu daripada struktur pemerintahan Palestin.

“Israel tidak berhak menghalang kelahiran negara Palestin esok,” katanya dalam ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sambil mengecam serangan Israel di Gaza sebagai tidak seimbang.

Namun di peringkat domestik, kemarahan rakyat terhadap kelewatan kerajaan semakin memuncak.

Isnin lalu, puluhan ribu penunjuk perasaan termasuk pelajar sekolah menengah dan universiti membanjiri jalan raya di seluruh negara bagi mengecam apa yang mereka labelkan sebagai genosid di Gaza.

Gerakan akar umbi di negara majoriti Katolik itu juga semakin rancak, dengan pelbagai inisiatif solidariti dilancarkan berlandaskan tradisi kedamaian dan penentangan terhadap perang.

Menurut tinjauan Izi yang diterbitkan Rabu lalu, 87.8 peratus rakyat Itali menyokong pengiktirafan negara Palestin, termasuk 73 peratus dalam kalangan penyokong parti gabungan kerajaan.

Akhbar harian La Stampa menegaskan, “Bagi sebuah kerajaan yang sering mendakwa sebagai suara sebenar rakyat, angka ini sangat bermakna.”

Dalam satu lagi cabaran, sekitar 60 aktivis Itali termasuk empat ahli parlimen menyertai flotila menuju Gaza bagi memecahkan kepungan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan.

Walaupun Meloni melabel mereka sebagai tidak bertanggungjawab, kerajaan tetap menghantar kapal tentera laut bagi mengiringi flotila itu selepas laporan serangan dron.

Bagaimanapun, tekanan moral terus meningkat apabila hakim serta peguam melancarkan seruan mempertahankan undang-undang antarabangsa di Gaza, manakala kumpulan paderi bawah panji “Priests Against Genocide” menganjurkan doa bersama.

Selain protes jalanan, tekanan turut dirasai dalam pentadbiran sendiri di mana menurut akhbar La Repubblica, kira-kira 300 pegawai Kementerian Luar menandatangani surat kepada Menteri Luar, Antonio Tajani, meluahkan rasa gelisah mendalam terhadap sikap rasmi Itali.

Ketua Parti Demokratik (PD), Elly Schlein dalam perbahasan Parlimen semalam membidas sikap kerajaan yang dianggap sengaja melengah-lengahkan isu Palestin.

“Apa lagi yang kamu tunggu? Tunggu sehingga tiada apa-apa dan tiada sesiapa lagi yang tinggal untuk diiktiraf di Palestin?” tegasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×