‘Kami sudah biasa lihat badan manusia berkecai’

‘Kami sudah biasa lihat badan manusia berkecai’

SEORANG lelaki membawa mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam pengeboman Israel di al-Bureij di Nuseirat, tengah Gaza, pada Ahad lalu.– AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Dua lagi hospital di Gaza terpaksa ditutup susulan pengeboman berterusan Israel, menyebabkan petugas perubatan terbeban menghadapi jumlah mangsa yang ramai.

Pakar bius dari Australia yang bertugas di Hospital al-Shifa, Dr Saya Aziz berkata, beliau sudah tidak dapat mengira jumlah amputasi yang terpaksa dilakukan kerana serangan berterusan itu.

“Pada hari pertama, saya fikir saya tidak pernah melihat situasi seteruk ini, namun pada hari berikutnya keadaan menjadi semakin buruk.

“Paling teruk apabila pesakit masih hidup dan kami membawa ke bilik pembedahan, mereka masih bernyawa tetapi sudah kehilangan banyak darah dan hampir mati,” katanya kepada Al Jazeera.

Dr Saya berkata, serpihan jari kaki dan daging, serta pesakit yang kehilangan anggota badan, kini menjadi pemandangan biasa baginya di kawasan rehat hospital.

Beliau yang mula bekerja di hospital itu kira-kira seminggu lalu, berkata sebaik sahaja petugas perubatan mendengar bunyi bom, dalam beberapa minit sahaja, kemudahan tersebut dipenuhi ramai mangsa cedera.

“Anda akan mendengar tangisan, jeritan, kekecohan ahli keluarga yang membawa pesakit… ia seperti mandi darah,” katanya.

Menurutnya, bilik pembedahan hospital juga dalam keadaan kotor dengan dipenuhi lalat, sementara Israel mengehadkan kemasukan bantuan, termasuk bekalan perubatan ke Gaza.

“Segalanya kotor. Saya pun tidak dapat membersihkan pesakit yang dipenuhi habuk dan serbuk peluru, kami tiada kain kasa… saya berharap ada beberapa tuala untuk mencuci pesakit.

“Saya tiada cecair untuk membersihkan mereka. Saya tiada ubat tahan sakit untuk diberikan. Hati saya hancur,” katanya.

Hospital al-Shifa pernah menjadi kompleks perubatan terbesar di Semenanjung Gaza, tetapi kebanyakannya kini musnah selepas beberapa siri pencerobohan darat dan udara Israel sejak perang bermula pada Oktober 2023.

Kemudahan kesihatan di Gaza beberapa kali menjadi sasaran serangan Israel, termasuk bom seberat 900 kilogram (kg) yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×