ISU penukaran nama daerah Port Dickson kembali mencuri perhatian apabila timbul desakan daripada pihak tertentu yang mencadangkan supaya nama kawasan pelancongan popular itu diganti kepada Pantai Dermaga.
Cadangan tersebut dikemukakan atas alasan untuk memartabatkan bahasa Melayu selain menghapuskan pengaruh peninggalan penjajah yang masih kekal pada nama daerah berkenaan.
Bagi mendapatkan pandangan lebih jelas, wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA menghubungi tokoh politik dan budayawan negara, TAN SRI DR. RAIS YATIM yang juga merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.
UTUSAN: Apa pandangan awal Tan Sri mengenai perkara ini?
RAIS YATIM: Antara yang penting diperhatikan adalah, apa sebab sesuatu tempat itu perlu kita tukar namanya? kebanyakan jawapan adalah sifar dan tiada alasan. Ada alasan konon itu nama penjajah, jadi soal itu kita harus balik kepada sejarah.
Misalnya (Sir) Gerald Templer kalau dia tiada, darurat tidak habis, dia yang berjaya membunuh dan menghapuskan komunis di Malaya. Begitu juga (Sir Donald) MacGillivray, Sir Henry Gurney dan lain-lain. Ini nama sewaktu kolonialisme, kita mesti ada persejarahan.
Begitu juga situasinya dengan Port Dickson?
Port Dickson itu semenjak Negeri Sembilan wujud tahun 1959 (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959) sudah ada, sebelum merdeka sudah ada. Port Dickson itu dulu hanya sebahagian daripada Linggi, perkataan dermaga hanya muncul dalam Kamus Dewan kira-kira dalam tahun 1960-an.
Keduanya, (John Frederick) Dickson adalah orang yang membangunkan Negeri Sembilan timur dan beliau mewujudkan kampung-kampung di Linggi, Lukut dan pantai dari Batu 2 sampai Batu 8. Sekarang tiba-tiba mahu ditukar nama itu ketika seluruh dunia sudah tahu Port Dickson. Jangan semudah itu melupakan jasa satu-satu pihak walaupun orang itu terkait dengan sejarah kolonialisme atau penjajahan.
Di Negeri Sembilan nama-nama seperti Paul, Birch, Swettenham dan seterusnya nama-nama lain yang berjasa dalam perkamusan Melayu seperti Wilkinson, Winstedt, semua ini adalah penyayang kepada Negeri Sembilan termasuk Mr. Dickson. Pembangunan Negeri Sembilan semenjak 1935 sampai merdeka memang di bawah nama Dickson, sebagai pegawai tinggi British pada masa itu.
Biarlah nama Port Dickson itu, orang Negeri Sembilan tidak tahu dermaga , hanya tahu ‘podeksen’ sudah sebati dengan aura negeri ini. Sebab itu kita harus berfikir dalam sebelum mahu menukar sesuatu nama itu dan tidak tergesa-gesa semata-mata atas dorongan, tembak bukit dengan senapang, itu tidak menjadi apa-apa, jasa Dickson akan terus ada di situ.
Bagaimana pula dalam soal memartabatkan bahasa Melayu?
Sekarang ini tidak ada bahasa Melayu yang tidak dimasukkan bahasa Inggeris, daripada perkataan best sampai kepada perbilangan, sampai kata-kata good bye, shopping dan lain-lain, jika kalau betul benci kepada penjajahan, buanglah ini semua, buanglah semua perkataan Inggeris dan kamus-kamus Inggeris.
Apa pandangan Tan Sri mengenai nama dermaga yang dicadangkan itu?
Jika mahu dimasukkan dermaga pada masa ini, sejarahnya tiada, sebab-sebabnya tiada. Kem-kem tentera ada di Port Dickson, bagaimana mahu disebut sebagai ‘Kem Dermaga’ ia akan mengubah, apa disebut sebagai slipped diction, jadi tidak dapat kita mahu mengubahnya kepada perkara yang munasabah.
Itu sebahagian alasan yang boleh digunakan, jangan begitu cepat kita mengalihkannya, jasa seseorang ataupun dulu dalam nama penjajahan, tidak semestinya kita raba atau buang terus menerus sebab ‘keInggerisan’ itu macam mana pun ada dalam riwayat Malaya, ada dalam riwayat Semenanjung Tanah Melayu.
Satu lagi, Malaya itu dinamakan oleh Inggeris, daripada perkataan malay peninsular, daripada perkataan Semenanjung Tanah Melayu atau Malay States. Sampai sekarang masih guna mahkamah Malaya, tiada mahkamah Semenanjung Tanah Melayu, ini semua hujah-hujah yang menunjukkan bahawa kita jangan terlalu cepat mahu mengambil tindakan.
Nama Port Dickson sudah cukup baik?
Nama itu cukup baik, nama semua geran tanah, ini penting sekali, semua geran tanah, mukim atau kampung dan juga lot-lot di adalah atas nama daerah Port Dickson. Jika tukar kepada dermaga, satu pindaan kepada undang-undang enakmen tanah di Negeri Sembilan harus dibuat.
PTG (Pejabat Tanah dan Galian) akan huru hara dan hal ini mesti difikirkan mendalam dalam konteks permukiman, lot-lot dan juga nama geran yang telah diberi beratus tahun semenjak British sampai ke hari ini.
Jika dibuka sebagai dermaga, saya percaya akan banyak yang membawa ke mahkamah untuk merujuk kepada nama mana yang akan digunakan jika dermaga ini dimasukkan setelah Port Dickson, itu aspek yang sangat mustahak.
Apa lagi implikasinya jika nama Port Dickson ini ditukar?
Jika Port Dickson diubah dalam peta Negeri Sembilan, dari Amerika, Britain, Eropah akan memakan masa sekurang-kurangnya lima ke 10 tahun barulah mereka mungkin mendengar konsonan dermaga itu. Harus hati-hati, bagi saya apa untungnya jika Port Dickson itu diubah nama? Terlampau banyak implikasinya. Ini bukan mengenai tukar nama jalan tetapi menukar sebuah nama daerah, besar implikasinya, buat penilitian dan jangan tergesa-gesa.
Gesaan sebegini bukan kali pertama ditimbulkan, Tan Sri pernah berdepan situasi serupa ketika menjadi Menteri Besar?
Ketika saya menjadi Menteri Besar dahulu, kita tidak kisah tentang nama, apa yang ditinggalkan oleh sejarah kita ikut, sejarah itu sebahagian tamadun kita. Sebenarnya orang Inggeris yang memberikan nama jalan dan daerah ini ada sebab belaka, dahulu adalah sebab orang kita belum celik lagi. Sekarang bila sudah celik, ia juga adalah atas ilmu Inggeris itu juga.
Ada satu dua (nama Inggeris) biarkan sahaja sebab dunia sudah mengiktiraf begitu, itu pandangan saya sebagai orang lama di Negeri Sembilan dan pernah jadi Menteri Besar.-UTUSAN










