PERDEBATAN mengenai keadilan penempatan universiti dan hala tuju akses kepada pendidikan tinggi berkualiti semakin rancak diperkatakan.
Isunya bukan sekadar tentang siapa yang layak masuk ke universiti tetapi juga bagaimana Malaysia mampu mengekalkan daya saing global tanpa menafikan hak anak watan. Persoalan utama, bagaimana kita mahu menarik bakat antarabangsa sambil memastikan pelajar tempatan cemerlang tidak diketepikan?
Sejak dahulu, pelajar Malaysia membuktikan keupayaan menyaingi standard antarabangsa dengan ketekunan dan kejayaan akademik. Namun, jumlah pelajar cemerlang sering melebihi kapasiti universiti awam, terutama dalam bidang popular yang terhad penawaran. Justeru, timbul tekanan dalam soal pengambilan pelajar dan keseimbangan antara merit, kapasiti dan peluang sentiasa diuji.
Universiti awam memikul mandat nasional untuk mendidik rakyat tempatan, walaupun dalam masa sama didorong untuk meningkatkan pengantarabangsaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan tiada kompromi terhadap kuota pelajar tempatan. Pelajar antarabangsa diterima hanya sebagai tambahan melalui saluran khas, bukan mengambil tempat Unit Pusat Universiti (UPU).
PENGALAMAN UNIVERSITI DUNIA
Isu ini bukan hanya di Malaysia. Universiti terkemuka dunia turut berdepan dilema serupa.
National University of Singapore (NUS): 36 peratus pelajarnya antarabangsa, namun di peringkat ijazah pertama, majoriti kekal rakyat Singapura.
Universitas Indonesia (UI): Mengekalkan majoriti besar rakyat tempatan walaupun menawarkan program antarabangsa.
Chulalongkorn University, Thailand: Hampir semua pelajarnya warga Thailand, hanya sebilangan kecil antarabangsa.
University of California (UCLA): Mengehadkan pelajar antarabangsa sekitar 7-8 peratus bagi melindungi hak rakyat tempatan.
Model ini menunjukkan prinsip yang sama dengan bakat tempatan mesti diutamakan, sementara bakat global ditambah secara terpilih untuk memperkayakan ekosistem universiti.
Mengapa universiti awam perlu menerima pelajar dan pensyarah asing sedangkan permintaan tempatan tinggi? Jawapannya, globalisasi bukan permainan ‘zero-sum’. Kehadiran pelajar dan pensyarah antarabangsa membawa manfaat langsung:
-Meningkatkan kolaborasi penyelidikan
-Membuka rangkaian global
-Memperkayakan suasana pembelajaran
-Melatih pelajar tempatan dengan kemahiran komunikasi silang budaya.
Universiti seperti NUS menunjukkan bagaimana staf akademik antarabangsa (lebih 60 peratus) menyumbang kepakaran dan mempercepatkan penciptaan ilmu.
Mereka yang berinteraksi dengan rakan antarabangsa membangunkan kemahiran komunikasi silang budaya dan perspektif lebih luas. Dengan menjemput bakat global secara terpilih dan strategik, pembangunan ini dapat dipertingkatkan.
Pengantarabangsaan yang dilaksanakan dengan betul tidak mengurangkan nilai pendidikan tempatan, sebaliknya menjadi nilai tambah. Frasa kuncinya ialah ‘dilaksanakan dengan betul’, dengan dasar yang berhati-hati supaya keterangkuman tidak berubah menjadi liabiliti.
Kampus yang pelbagai dari segi global secara progresif melahirkan graduan yang celik ilmu bersifat antarabangsa, menjadi aset penting bagi mana-mana negara dalam abad ke-21.
MENJAMIN HAK PELAJAR TEMPATAN
Kebimbangan pelajar cemerlang terlepas peluang di universiti awam diberi perhatian serius. Data terkini menunjukkan daripada 109,000 pemohon, 72 peratus berjaya mendapat tempat di universiti awam melalui UPU. Semua pemegang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dijamin penempatan, walaupun tidak semestinya dalam kursus pilihan pertama.
Sistem rayuan dan penempatan semula disediakan bagi memastikan tiada bakat terpinggir. Walaupun tidak semua dapat masuk ke Universiti Malaya (UM), laluan tetap terbuka di universiti awam lain. Ini membuktikan komitmen kerajaan yang setiap pelajar cemerlang diiktiraf.
MERITOKRASI HOLISTIK
Cabaran masa hadapan bukan sekadar mengurus bilangan pelajar cemerlang tetapi juga mendefinisikan merit. Jika peperiksaan semata-mata dijadikan penentu, ramai pelajar dengan A penuh akan bersaing untuk tempat yang sama. Maka, pendekatan lebih holistik diperlukan.
Temu duga, ujian kebolehan, faktor sosioekonomi dan keupayaan kepimpinan boleh dipertimbangkan bersama pencapaian akademik. Pendekatan ini membolehkan pelajar ditempatkan dalam bidang sesuai dengan kekuatan masing-masing, selain menjamin sistem kekal adil dan telus.
Kami mengalu-alukan pandangan bernas dan konstruktif demi memperkasa ekosistem ini, dengan matlamat akhir memastikan rakyat dan negara sentiasa menjadi pihak pertama menerima manfaat.
Justeru, saya memberi jaminan akan meneliti semua kes pelajar Malaysia layak dan memenuhi kriteria bagi semua kursus di UM. Rayuan serta permohonan akan dipertimbangkan dengan adil dan penuh kefahaman.
Itulah yang sekurang-kurangnya dapat kami lakukan sebagai pemegang panji utama kecemerlangan negara dan akan terus menunaikan mandat serta tanggungjawab nasional.
BERTARAF GLOBAL, BERTERASKAN NASIONAL
Malaysia sedang mendidik generasi baharu, Generasi Z dan tidak lama lagi Generasi Alpha yang celik digital dan bercita-cita tinggi. Mereka bukan sahaja menuntut pencapaian akademik tetapi juga kreativiti, makna dan impak dalam pendidikan.
UM sebagai universiti utama negara perlu memegang dua peranan iaitu menjadi penggerak pembangunan nasional dan penanda aras kecemerlangan global. Hal ini hanya boleh dicapai dengan dasar sokongan berterusan, telus dan berpandangan jauh.
Negara lain membuktikan melindungi pelajar tempatan tidak bermakna menutup pintu kepada dunia. Malah, keseimbangan antara kedua-dua agenda ini saling melengkapi. Malaysia perlu kekal terbuka untuk menarik bakat global tetapi keutamaan tetap kepada pembangunan rakyat sendiri.
TIADA BAKAT DIKETEPIKAN
Matlamat akhirnya jelas iaitu tiada pelajar cemerlang Malaysia akan diketepikan. Sistem akan terus diperhalusi supaya semua bakat diiktiraf, diberi peluang dan disokong.
Dalam masa sama, pengantarabangsaan akan dimanfaatkan untuk memperkayakan kampus, memperkukuh penyelidikan dan menjadikan Malaysia hab ilmu yang dihormati.
Inilah visi universiti sejati yang mengangkat darjat negara, sambil menyumbang kepada dunia. UM dan universiti awam lain akan terus memastikan bakat tempatan mendapat tempat sewajarnya kerana mereka adalah tunjang masa hadapan negara.-UTUSAN
PROFESOR Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman ialah Naib Canselor Universiti Malaya (UM).










