Caci-mencaci jadi amalan harian remaja

Caci-mencaci jadi amalan harian remaja

REMAJA sekolah yang berumur lingkungan 13 hingga 17 tahun sudah biasa menggunakan kata kurang sopan seolah-olah menjadi basahan mulut dan amalan harian. –GAMBAR HIASAN/ILUSTRASI AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini, majlis perbandaran di kawasan kediaman menyiapkan projek penaiktarafan taman rekreasi yang terletak betul-betul di hadapan rumah. Taman rekreasi ini meriah dengan penduduk taman yang menggunakan fasiliti berwajah baharu ini terutama pada waktu petang.

Namun, keindahan suasana itu dirosakkan dengan tingkah laku remaja yang tidak mencerminkan budaya timur apabila mengeluarkan bahasa kurang sopan. Kata-kata ini didengar bukan sekali dua, bukan sehari dua, malah secara bertubi-tubi tidak putus-putus selagi mana mereka bermain di situ.

Kekerapan perkataan kurang sopan ini boleh dikategorikan pada tahap membimbangkan hinggakan ada yang menggunakan perkataan mencaci melebihi 15 kali dalam seminit.

Bagaimana remaja sekolah yang baru berumur lingkungan 13 hingga 17 tahun ini boleh bertutur menggunakan bahasa kurang sopan seolah-olah menjadi basahan mulut dan amalan harian?

Apakah pendidikan, teguran dan asuhan yang diterima selama ini sehingga mereka dengan senang mengeluarkan kata-kata nista semasa bermain di padang?

Mungkinkah di sekolah dan rumah pun mereka sudah terbiasa menggunakan kata-kata sebegini?

Marah sedikit, terus memaki. Silap sedikit, terus mencaci. Tidak faham, terus mencarut. Tidak boleh menahan diri, tidak sanggup bersabar. Akhirnya mereka menjadi manusia yang tidak sopan, biadab dan tidak menghormati aturan masyarakat.

Para pendidik dan ibu bapa perlu cakna tentang gejala ini. Sudah 55 tahun Rukun Negara diisytiharkan yang salah satunya ialah kesopanan dan kesusilaan.

Kita perlu menghayati Rukun Negara dengan lebih bersungguh-sungguh dan mengambil tindakan yang lebih konkrit terhadap pengamalannya terutama di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan di rumah. Orang dewasa dan tokoh masyarakat hendaklah memberikan teguran dan teladan yang baik.-UTUSAN

PEMERHATI GEJALA MASYARAKAT
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×