GAZA CITY: Pekerja kemanusiaan di utara Gaza mendakwa mereka menerima amaran berulang kali daripada tentera Israel hanya hospital akan dianggap sebagai lokasi dilindungi, manakala semua pusat bantuan lain berisiko menjadi sasaran serangan.
Menurut mesej dan perbualan yang didedahkan kepada The Guardian, arahan yang dikeluarkan Israel Defense Forces (IDF) untuk penduduk Gaza City turut meliputi semua lokasi kemanusiaan kecuali hospital, sambil memberi amaran operasi ketenteraan akan dijalankan dengan kekuatan besar untuk menewaskan kumpulan Hamas.
Pada Jumaat lalu, IDF mengumumkan perluasan operasi di Gaza City dengan mengebom apa yang didakwa sebagai infrastruktur kumpulan tersebut.
Setakat ini, dianggarkan antara 250,000 hingga 500,000 penduduk daripada sejuta orang telah melarikan diri, manakala ribuan lagi masih terkandas kerana tidak mempunyai wang atau kenderaan untuk berpindah ke selatan.
Pihak berkuasa Israel memaklumkan mereka sedang menyiapkan “zon kemanusiaan” di kawasan pesisir al-Mawasi di selatan Gaza dengan membina pusat agihan bantuan baharu, membekalkan elektrik ke loji penyahgaraman air serta menyalurkan sedikit bantuan.
Namun, hampir keseluruhan utara Gaza kini musnah selepas 23 bulan konflik dan kempen kemusnahan sistematik yang semakin hebat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Walaupun Israel mendakwa hospital akan kekal sebagai kawasan dilindungi, kumpulan bantuan menzahirkan keraguan kerana banyak fasiliti kesihatan sebelum ini turut diserang.
Tentera Israel membina dua pusat agihan bantuan baharu berhampiran sempadan Mesir untuk digunakan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah pertubuhan yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.
Menurut GHF, sebanyak 12 lori makanan diagihkan pada minggu lalu di dua lokasi iaitu Rafah dan Khan Younis.
Bagaimanapun, laluan utama dari Israel ke utara Gaza ditutup sejak minggu lalu, menyebabkan penghantaran bantuan dari selatan berdepan kesukaran logistik besar selain sering dinafikan kebenaran oleh IDF.
“Keadaan memang sedikit lebih baik berbanding Jun dan Julai, tetapi ia masih belum cukup untuk mengubah keadaan kebuluran, kematian kanak-kanak akibat kekurangan zat atau kesengsaraan hidup rakyat Gaza,” ujar Katy Crosby, Pengarah Dasar Mercy Corps. -AGENSI










