Jawatankuasa bebas termasuk wakil pembangkang teliti laporan tragedi Putra Heights

Jawatankuasa bebas termasuk wakil pembangkang teliti laporan tragedi Putra Heights

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meninjau rumah yang telah siap dibina oleh pemaju di Kampung Kuala Sungai Baru semasa lawatan kerja status bina semula dan baik pulih rumah mangsa kebakaran paip gas bocor di Putra Heights, April lalu. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Sebuah jawatankuasa bebas seramai lapan ahli, termasuk wakil kerajaan dan dua cadangan daripada pihak pembangkang, ditubuhkan bagi menilai laporan siasatan letupan Putra Heights berkaitan status pembinaan semula serta baik pulih rumah mangsa yang terjejas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jawatankuasa itu akan meneliti laporan yang dikemukakan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Bomba dan jabatan teknikal lain sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

Katanya, senarai nama jawatankuasa tersebut telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) awal bulan lalu.

“Namun, Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan dalam masa terdekat untuk menyampaikan pandangan kerajaan sebelum senarai rasmi ahli diumumkan.

“Senarai itu akan dikeluarkan selepas mereka menerima pelantikan secara rasmi dan kita jangka proses itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Selepas mesyuarat pertama, mereka akan memulakan proses penelitian laporan teknikal yang telah dibentangkan oleh agensi-agensi berkaitan,” katanya sidang akhbar berkenaan lawatan kerja satus bina semula dan baik pulih rumah mangsa di sini, hari ini.

Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan turut dianggotai profesional daripada pelbagai bidang termasuk pakar akademik, cerun, minyak dan gas, kebakaran serta keselamatan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri sedang menyelaras isu melibatkan 79 unit rumah di Taman Putra Harmoni yang terkesan dalam insiden berkenaan.

Daripada jumlah itu, katanya, 49 pemilik bersetuju untuk membenarkan kerja baik pulih dan naik taraf dilaksanakan, manakala baki 30 pemilik menolak atas sebab tertentu.

Selain itu, sebanyak 120 unit rumah di taman berkenaan turut terlibat dalam program baik pulih sederhana dengan peruntukan antara RM30,000 hingga RM60,000.

“Setakat ini, 86 tuntutan bernilai tuntutan bernilai RM3.9 juta dan sebahagian besar pembayaran telah pun dilunaskan, selebihnya akan diselesaikan sebelum hujung Oktober,” jelasnya.

Manakala untuk Kampung Kuala Sungai Baru pula, Amirudin memaklumkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina semula 11 unit rumah dengan tiga daripadanya telah siap, manakala selebihnya dijangka siap menjelang hujung Oktober ini.

Selain itu, sebanyak 94 unit di kampung tersebut memerlukan baik pulih dengan nilai antara RM30,000. Sebanyak 63 tuntutan bernilai RM1.7 juta telah diselesaikan, manakala selebihnya masih disemak kerana melebihi siling yang ditetapkan.

“Manakala untuk aspek prasarana, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah memasang semula lampu jalan di kawasan terbabit, namun pembaikan jalan ditangguhkan sehingga semua kerja pembinaan dan baik pulih selesai dilaksanakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×