Universiti idaman bukan segalanya

Universiti idaman bukan segalanya

MASIH banyak lagi perkara lain yang lebih penting daripada mengejar tempat di universiti yang dianggap berstatus tinggi dan terkemuka semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIBANYA kita di hujung bulan September menandakan semakin hampir tiba masa kemasukan baharu ke universiti-universiti seluruh negara. Pastinya ramai yang teruja dan sibuk membuat pelbagai persiapan, apatah lagi jika universiti yang dituju itu jauh dari kampung halaman.

Tidak dapat dinafikan, pasti ada para pelajar yang merasa kecewa kerana tidak dapat menyambung pelajaran ke universiti pilihan pertama mereka, ataupun tidak ditawarkan tempat mengikuti kursus idaman mereka.

Sememangnya kita semua mempunyai impian, namun kita juga harus bersedia menerima kenyataan dengan hati yang terbuka kerana kita tidak akan selalunya menang.

Walaupun kita merasakan bahawa keputusan peperiksaan kita sangat cemerlang, kita jangan bersifat bongkak. Kita harus menerima kenyataan bahawa masih ramai pelajar pintar lainnya yang mendapat keputusan lebih cemerlang daripada kita.

Hal ini menjadikan persaingan bagi mendapat tempat di universiti awam ternama sangat sengit, khususnya bagi kursus-kursus tertentu yang dianggap strategik.

Oleh kerana tempat yang ditawarkan begitu terhad memandangkan jumlah pemohonnya yang begitu ramai, kebanyakan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang mungkin tidak mendapat tempat untuk belajar di universiti pilihan utama mereka.

Sungguhpun begitu, ada universiti yang memberi peluang kepada pemohon yang gagal untuk membuat rayuan. Malah, saya sendiri hanya diterima masuk ke UIAM setelah berkali-kali melakukan rayuan. Justeru, peluang yang ada harus digunakan untuk membuktikan bahawa kita sememangnya layak dipilih bagi mengikuti kursus yang dimohon.

Bagi kebanyakan pelajar yang berhadapan situasi sebegini, mereka tidak mudah melatah dan menyalahkan pihak lain kerana mereka maklum dan faham akan keadaan sebenarnya. Mereka tetap bersemangat belajar di universiti yang ditetapkan, malah berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya dengan cemerlang.

Biasanya, perkara yang sering kita utamakan ketika memilih universiti ialah kedudukan universiti berkenaan dalam penarafan antarabangsa. Kita tidak sedar bahawa masih banyak lagi perkara lain yang lebih penting daripada mengejar tempat di universiti yang dianggap berstatus tinggi dan terkemuka semata-mata.

Sebagai contohnya, suasana kehidupan di kampus dan keprihatinan pihak universiti dalam menjaga kebajikan pelajar adalah amat penting, namun seringkali tidak diambil kira ketika kita membuat pilihan universiti.

Begitu juga dengan perkara asas seperti tahap kebersihan dan kemudahan di kampus, termasuk kemudahan asrama yang mencukupi, perkhidmatan bas, kemudahan kesihatan yang baik, faktor keselamatan dan sebagainya.

Hidup bersama teman-teman pelajar daripada latar belakang yang terlalu jauh berbeza adakalanya tidak mudah kerana ia melibatkan perbezaan nilai, soal disiplin serta cara kehidupan secara keseluruhannya.

Ini termasuklah corak pertuturan dan gaya bahasa yang digunakan dalam pergaulan setiap hari. Secara sedar atau tidak, semua perkara ini juga terpaksa kita tempuhi sepanjang tempoh pengajian kita di sana.

Maka, semua hal ini juga harus diambil kira. Tambahan pula, keadaan persekitaran akan mempengaruhi corak pemikiran, cara kita membawa diri serta pembentukan keterampilan diri kita.

Persoalan seterusnya ialah, benarkah kedudukan penarafan sesebuah universiti menjadi faktor penentu kepada mutu pendidikan mereka.

Tidak seperti sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah, setiap universiti mempunyai kerangka pendidikan yang tersendiri.

Ini bermakna, walaupun kursus yang ditawarkan adalah sama, namun kerangka kursusnya bergantung kepada apa yang dirangka oleh universiti masing-masing, maka hasilnya adalah amat berbeza.

Ironinya, walaupun hal ini memberi kesan yang besar ke atas mutu kursus yang ditawarkan, tetapi ia tidak diambil kira dalam penentuan kedudukan penarafan sesebuah universiti.

Ini bermakna tidak semua kursus yang ditawarkan oleh universiti yang berada pada kedudukan penarafan yang paling tinggi itu lebih hebat serta lebih tinggi mutunya berbanding universiti lain.

Oleh itu, jangan sampai kita terperangkap dalam sindrom penafian sehingga gagal menerima kenyataan dan membuat tuduhan bagi menyalahkan pihak lain apabila kita gagal mendapat apa kita mahukan.

Sebaik sahaja mendaftar masuk ke universiti, kita semua harus menerokai kelebihan dan peluang yang ada di universiti masing-masing bagi memastikan kita tidak dengan sia-sianya menggadaikan peluang yang ada di hadapan mata.

Tiada gunanya kita terbawa-bawa dengan perasaan kecewa sehingga hanya melihat kekurangan yang ada untuk dikeluhkan.

Malah ketika berhadapan masalah, kita harus sentiasa belajar mencari jalan penyelesaian secara berhemah dan bukannya bertindak secara melulu.

Memang lebih mudah jika kita menularkan sesuatu isu atau mengadakan bantahan, namun adalah lebih baik jika kita memilih cara penyelesaian secara matang dan lebih bijaksana.

Memasuki alam universiti, kita semua merasa lebih dewasa dan mahu melakukan sesuatu yang bermakna. Ramai juga yang kagum dengan idea kebebasan dan fahaman anarki yang mendorong mereka bertindak sesuka hati.

Lihat sahaja tindakan kasar dan ganas atas nama orang muda dan mahasiswa yang berlaku baru-baru ini. Sedangkan mahasiswa sepatutnya bertindak secara bijaksana.

Perbuatan yang salah tidak harus diselesaikan dengan cara yang salah dan merosakkan. Sifat cepat melatah dan bertindak mengikut nafsu hanya akan merosakkan segala-galanya.

Amat malang sekali jika ilmu yang kita tuntut selama ini tidak berupaya menjadi penyuluh jalan yang benar serta menolong kita berfikir secara waras. Berfikir panjanglah sebelum bertindak dan jangan mempertikaikan hak orang lain. Hak kebebasan ada hadnya dan bukannya bersifat mutlak.

Kita ke universiti untuk menimba ilmu dan menjadi insan yang terpelajar yang bijaksana, amanah dan baik pekertinya. Universiti bukannya tempat yang mendidik kita membelakangkan agama, adab dan susila.

Keamanan dan kesejahteraan negara tidak ternilai harganya dan boleh diperjudikan atau digadaikan. Bertindak mengikut hati yang panas bukan sekadar merosakkan tetapi akan membakar diri kita sendiri.

Jangan sampai menang sorak, kampung tergadai. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×